97 rakyat Palestin terbunuh, Israel langgar gencatan senjata

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya 97 rakyat Palestin terbunuh manakala 230 lagi cedera akibat serangan tentera Israel sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di Semenanjung Gaza pada 10 Oktober, termasuk 21 pelanggaran yang direkodkan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kerajaan Gaza.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan bahawa "tentera pendudukan Israel telah melakukan 80 pelanggaran yang didokumenkan sejak pengisytiharan gencatan senjata, satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, pelanggaran berkenaan termasuk tembakan secara langsung ke arah orang awam, serangan artileri, serangan secara sengaja serta penangkapan orang awam.
Tentera Israel turut menggunakan kenderaan tentera, kereta kebal yang diletakkan di pinggir kawasan kediaman, kren elektronik yang dilengkapi dengan sistem penyasaran jarak jauh, selain pesawat pejuang dan dron quadcopter untuk melancarkan serangan.
"Pelanggaran ini direkodkan di semua wilayah di Semenanjung Gaza tanpa pengecualian, sekali gus mengesahkan bahawa rejim Israel tidak mematuhi gencatan senjata dan terus melaksanakan dasar pembunuhan serta keganasan terhadap rakyat kami,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Gaza menganggap tentera Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelanggaran itu dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pihak penjamin perjanjian berkenaan supaya segera campur tangan bagi menghentikan pelanggaran tersebut.
Perjanjian gencatan senjata antara kumpulan Palestin Hamas dan Israel, berdasarkan pelan yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Perjanjian itu merangkumi pengunduran tentera Israel secara berperingkat, pertukaran tahanan secara bersama, kemasukan segera bantuan kemanusiaan, serta pelucutan senjata Hamas.
Gencatan senjata itu menamatkan konflik selama dua tahun yang mengorbankan lebih 68,000 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 170,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza. - Bernama
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 97 rakyat Palestin terbunuh dan 230 cedera sejak gencatan senjata di Gaza
- Tentera Israel melakukan 80 pelanggaran gencatan senjata termasuk serangan terhadap orang awam
- Pelanggaran termasuk tembakan langsung, serangan artileri, dan penangkapan orang awam
- Tentera Israel menggunakan kenderaan tentera, kereta kebal, kren dengan sistem penyasaran, pesawat pejuang dan dron
- Gencatan senjata merangkumi pengunduran tentera Israel, pertukaran tahanan, bantuan kemanusiaan, dan pelucutan senjata Hamas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
