Penyelia hotel disyaki dalang seludup warga asing diberkas

SEPANG - Seorang penyelia sebuah hotel ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan membawa masuk warga asing ke negara ini melalui kemudahan laluan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pada Selasa.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, wanita berusia 34 tahun itu ditahan anggota agensi itu selepas cuba membawa enam warga Indonesia ke kaunter imigresen menggunakan slip kemudahan 'Fast Track'.
"Difahamkan, taktik itu digunakan bagi membolehkan kumpulan berkenaan melepasi pemeriksaan imigresen tanpa melalui prosedur biasa," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita terbabit menerima bayaran tertentu bagi setiap penumpang yang berjaya dibawa masuk ke Malaysia.
"Aktiviti itu dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan majikan dan ketika suspek sedang bercuti," katanya.
AKPS memaklumkan, hasil maklumat lanjut juga mendapati beberapa individu lain dipercayai terlibat dalam mengatur kemasukan warga asing menggunakan modus operandi sama.
"Aktiviti ini dipercayai telah berlanjutan lebih setahun melibatkan warga asing dari Indonesia, China, Vanuatu, Kemboja dan Laos," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, wanita tempatan berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670].
'Wanita itu kini direman di Lokap Aeropolis untuk siasatan lanjut manakala enam warga Indonesia yang turut ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang penyelia hotel ditahan kerana terbabit dalam membawa masuk warga asing secara tidak sah ke Malaysia melalui KLIA2
- Wanita berusia 34 tahun itu menggunakan slip kemudahan 'Fast Track' untuk memudahkan enam warga Indonesia melepasi pemeriksaan imigresen
- Dia menerima bayaran tertentu untuk setiap penumpang yang berhasil dibawa masuk ke negara ini
- Aktiviti penyeludupan ini telah berlanjutan lebih setahun dan melibatkan warga asing dari beberapa negara
- Wanita tersebut ditahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, manakala enam warga Indonesia ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
