Ops Selera: JIM cekup 62 warga asing lakukan pelbagai kesalahan

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 62 warga asing dalam Ops Selera yang dijalankan di dua lokasi berbeza sekitar bandar raya ini pada Sabtu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula jam 7 malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan terhadap dua premis restoran yang disyaki menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran sah.
Menurutnya, serbuan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Johor dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Hasil pemeriksaan terhadap 143 individu, seramai 62 orang ditahan melibatkan pelbagai warganegara berusia antara tiga hingga 50 tahun.
“Antaranya ialah lelaki warga Myanmar (30), Indonesia (5), Bangladesh (3), India (2), Nepal dan Sri Lanka (masing-masing 1) serta wanita warga Myanmar (14), Indonesia (3), Vietnam (2) dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohd Rusdi, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram.
Katanya lagi, dua pengurus premis warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran sah.
“Selain itu, sebanyak tiga keping borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
"Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut," katanya.
JIM Johor dalam pada itu menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pelanggaran imigresen, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran bagi memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menahan 62 warga asing dalam Ops Selera
- Operasi tersebut merupakan hasil dari maklumat awam dan risikan terhadap dua premis restoran
- Seramai 62 individu dari pelbagai warganegara ditahan melibatkan pelbagai usia
- Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen
- Dua pengurus premis warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
