Lima warga Vietnam guna cap pasport palsu diberkas

SEPANG – Cubaan lima warga Vietnam menggunakan cap pasport meragukan gagal selepas dikesan pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, pada Rabu.
AKPS memaklumkan dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, lima individu terdiri daripada tiga wanita dan dua remaja perempuan ditahan selepas dikesan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan di Balai Perlepasan.
"Hasil semakan terhadap dokumen perjalanan mendapati cap keluar dan masuk pada pasport kesemua suspek diragui ketulenannya serta dipercayai diperoleh secara tidak teratur," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut AKPS, pemeriksaan lanjut melalui sistem MyIMMS mendapati tiada sebarang rekod pergerakan keluar atau masuk yang sepadan dengan cap pada pasport tersebut.
“Siasatan awal juga mendapati kesemua individu terbabit tidak pernah meninggalkan Malaysia dan telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, kesemua warga Vietnam itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut.
"AKPS akan terus memperketatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi membanteras cubaan menggunakan dokumen perjalanan palsu atau tidak teratur di pintu masuk utama negara.
"Langkah itu bagi memastikan keselamatan serta integriti sempadan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Ringkasan AI
- Lima warga Vietnam gagal menggunakan cap pasport meragukan di KLIA Terminal 2
- Pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia menahan mereka kerana mencurigakan
- Dokumen perjalanan dikesan tidak tulen dan diperoleh secara tidak teratur
- Pemeriksaan MyIMMS mendapati tiada rekod pergerakan yang sepadan dengan cap pasport
- Mereka tidak pernah meninggalkan Malaysia dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
