BUDI95: KPDN Perak terima lapan aduan

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima lapan aduan rasmi berkaitan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengarahnya, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, daripada jumlah itu, lima aduan telah diselesaikan manakala tiga lagi masih dalam tindakan pihaknya.
Menurutnya, sejak ia mula dilaksanakan pada 30 September lalu, pihaknya memantau perkembangan tersebut dan kebanyakan aduan berkaitan isu meter pam di stesen minyak.
“Enam daripada aduan itu melibatkan isu meter pam minyak di stesen minyak yang didakwa tidak sepadan dengan jumlah liter petrol diisi.
“Dua lagi aduan pula berkaitan sistem. Kita telah menjalankan pemeriksaan bersama syarikat yang dilantik untuk menentusahkan isi padu ketumpatan minyak dan hasil pemeriksaan mendapati bacaan meter adalah tepat serta masih dalam had dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 Negeri Perak di pekarangan Bangunan Persekutuan Greentown di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) BUDI95, Kamaluddin berkata, sebanyak 430 stesen minyak di seluruh Perak terlibat dengan skim berkenaan.
“Setakat ini, sebanyak 576 pemeriksaan telah dijalankan sejak SKPS dilaksanakan, dan kita menerima 154 permohonan daripada syarikat untuk menyertai skim ini.
“Kita menggalakkan lebih banyak syarikat yang layak supaya memohon bagi menikmati kemudahan di bawah skim ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamaluddin berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 di Perak akan berkuat kuasa dari 16 hingga 22 Oktober bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan keperluan menjelang perayaan tersebut.
Menurutnya, sebanyak sembilan jenis barangan ditetapkan harga maksimum sepanjang tempoh tujuh hari itu, termasuk daging kambing biri-biri import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, kacang dal dan kelapa.
Tambah beliau, 195 anggota penguat kuasa bersama 72 Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di pasar awam, pasar tani serta pusat membeli-belah.
“Kerajaan berharap semua peniaga mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.
Kamalludin berkata, orang ramai juga digalakkan menyalurkan sebarang aduan berkaitan ketidakpatuhan harga kepada KPDN melalui saluran rasmi yang disediakan.
Ringkasan AI
- KPDN Perak menerima lapan aduan rasmi berkaitan pelaksanaan program Budi Madani RON95
- Lima aduan telah diselesaikan manakala tiga lagi masih dalam tindakan
- Kebanyakan aduan berkaitan isu meter pam di stesen minyak
- Enam daripada aduan itu melibatkan isu meter pam minyak, dua lagi aduan berkaitan sistem
- Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 di Perak akan berkuat kuasa dari 16 hingga 22 Oktober
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

