Anyaman nilai, jiwa negara bangsa

KITA sedang hidup dalam era yang disebut para sarjana sebagai zaman pasca normal - dunia yang penuh dengan kekacauan, kontradiksi dan kompleksiti.
Perubahan berlaku terlalu pantas, kadang tanpa arah, hingga banyak negara berdepan krisis keyakinan terhadap institusi, polarisasi politik serta penurunan kepercayaan sosial.
Dalam dunia yang sebegini, pembinaan negara bangsa bukan lagi urusan rutin pentadbiran tetapi cabaran eksistensi - persoalan tentang makna, arah dan jiwa sesebuah negara.
Soalnya, bagaimana Malaysia harus membina kekuatan nasional di tengah dunia yang sedang bergejolak ini?
Jawapannya bukan sekadar membina lebuh raya baharu atau melaksanakan reformasi ekonomi. Ia menuntut sesuatu yang lebih mendasar - pembinaan semula kerangka pemikiran nasional iaitu bagaimana kita mentafsir makna ‘Malaysia’ sebagai satu bangsa yang hidup, bernyawa dan berjiwa.
Dalam konteks inilah muncul gagasan Malaysia MADANI, bukan sekadar slogan politik tetapi sebagai kompas nilai kebangsaan. Ia memperkenalkan enam prinsip asas - kelestarian, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagai kompas moral untuk negara bergerak ke hadapan.
Seperti yang diingatkan oleh Pengerusi Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah, bahaya yang paling besar dalam pembinaan negara bangsa moden ialah tyranny of majoritarianism - dominasi tafsiran oleh satu kelompok terhadap makna negara. Bila makna negara hanya dikuasai oleh tafsiran sempit, bangsa akan mudah retak bila diuji oleh krisis.
MADANI menolak kejumudan itu. Ia membuka ruang tafsiran kebangsaan yang lebih inklusif, dengan mengiktiraf kepelbagaian sebagai kekuatan, bukan ancaman.
Dalam kerangka ini, rakyat bukan sekadar penerima dasar, tetapi rakan kongsi dalam menentukan arah masa depan negara. Inilah makna sebenar pembinaan negara bangsa - proses yang lahir daripada dialog antara kerajaan, rakyat dan nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama.
Dalam kerangka inilah, Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penting untuk difahami bukan hanya sebagai dokumen fiskal, tetapi sebagai anyaman nilai-nilai MADANI dalam bentuk tindakan dan dasar.
Belanjawan ini mengangkat dua pendekatan utama yang saling melengkapi:
Menaikkan lantai – dengan melindungi kumpulan paling rentan melalui bantuan bersasar, perlindungan sosial, pendidikan dan simpanan persaraan; dan
Menaikkan siling – dengan memperkukuh produktiviti, inovasi dan daya saing ekonomi nasional.
Namun, membina bangsa tidak berhenti pada angka dan polisi. Ia bergantung kepada cara berfikir yang baharu. Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam kerangka lama yang memisahkan antara ekonomi dan kemanusiaan, antara pembangunan dan nilai, antara rakyat dan kerajaan.
Kerangka baharu pembinaan negara bangsa mesti berasaskan kepada empat tiang utama:
Pemikiran nasional yang terbuka dan inklusif, yang menerima perbezaan sebagai sumber kekuatan;
Kepimpinan yang mendengar, bukan sekadar memerintah, tetapi merangkul suara rakyat;
Institusi yang berintegriti dan responsif, yang berkhidmat untuk semua tanpa bias; dan
Nilai bersama sebagai asas perpaduan, kerana perpaduan sejati lahir daripada rasa percaya, bukan paksaan.
Apabila empat asas ini diterapkan, maka dasar seperti Belanjawan 2026 bukan sekadar mekanisme pentadbiran - ia menjadi manifesto moral untuk masa depan Malaysia.
Dalam konteks ini, kepimpinan Anwar Ibrahim mewakili kesinambungan antara pemikiran dan jiwa kebangsaan.
Konsep MADANI yang diangkatnya bukan sekadar jenama politik, tetapi usaha untuk membina nationhood consciousness - kesedaran kebangsaan yang berpaksikan kasih sayang, keadilan dan kesejahteraan sejagat.
Sebuah negara bangsa tidak dibina dengan kekuasaan semata-mata. Ia dibina dengan rasa memiliki, cinta dan tanggungjawab bersama.
MADANI memberi ruang kepada setiap rakyat untuk menjadi benang dalam anyaman besar bangsa Malaysia - setiap warna, setiap corak, dan setiap nada, semuanya punya tempat dalam kain kebangsaan ini.
Belanjawan MADANI 2026 bukan hanya tentang angka, tetapi tentang jiwa dan niat membina Malaysia yang lebih adil, berperikemanusiaan dan berdaya tahan.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

