Suami lesap bersama duit hasil jual rumah, tinggalkan isteri lumpuh hidup dalam kemiskinan

#SHGlobal Lelaki itu menjual rumah bernilai satu juta yuan (RM660,000) sebelum menghilangkan diri tanpa khabar berita

Lin diuji apabila mengalami penyakit lumpuh. - Agensi
Lin diuji apabila mengalami penyakit lumpuh. - Agensi
A
A
A

BEIJING - Seorang wanita berusia 28 tahun di China lumpuh akibat penyakit jarang berlaku selepas diperdaya suaminya yang memujuknya menjual rumah mereka sebelum melarikan diri bersama wang hasil jualan itu.

Menurut laporan Yangtze Evening News, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Chang memberitahu polis bahawa dia sanggup masuk penjara daripada kembali kepada isterinya.

Mangsa, Lin yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu pelancong di wilayah Jiangsu, mengalami kebas pada kaki pada 2017 selepas empat tahun berkahwin, sebelum disahkan menghidap penyakit sistem saraf pusat yang menyebabkan dirinya lumpuh sepenuhnya.

“Saya hanya mampu duduk di kerusi roda setiap hari melihat orang di luar dan tertanya-tanya kenapa saya terperangkap begini,” katanya.

Gambar perkahwinan Chang (kanan) dan Lin. - Agensi
Gambar perkahwinan Chang (kanan) dan Lin. - Agensi

Lebih menyedihkan, suaminya memperdaya Lin untuk menjual rumah bernilai satu juta yuan (RM660,000) sebelum menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Lin yang hidup dalam kemiskinan akibat penyakit itu akhirnya memfailkan saman terhadap suaminya atas tuduhan meninggalkannya di mahkamah Nanjing.

Chang ditahan pada akhir 2022 selepas lima tahun bersembunyi, namun lokasi persembunyiannya sepanjang tempoh itu tidak diketahui.

Pada Mac tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Chang atas kesalahan meninggalkan isterinya.

Lin kemudian memfailkan perceraian dengan alasan suaminya lebih rela dipenjarakan daripada menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Permohonan itu diluluskan oleh mahkamah pada Mac.

Pihak pendakwa tempatan turut menyalurkan bantuan kewangan sebanyak 65,000 yuan (RM43,000) kepada Lin menerusi skim bantuan kehakiman bagi golongan miskin.

Kes tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial China dengan ramai netizen menyifatkan hukuman terhadap Chang terlalu ringan.

Insiden pasangan meninggalkan suami atau isteri yang sakit sering menjadi tular di media sosial China.

Tahun lalu, seorang lelaki di wilayah Anhui dijatuhi hukuman penjara setahun kerana meninggalkan isterinya yang menghidap kanser tahap akhir hanya dua bulan selepas berkahwin. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang wanita di China lumpuh akibat penyakit jarang berlaku selepas suaminya memujuknya menjual rumah dan melarikan diri dengan wang hasil jualan
  • Suaminya, Chang, ditahan oleh polis dan menyatakan sanggup masuk penjara daripada kembali kepada isterinya
  • Mangsa, Lin, mengalami kebas pada kaki pada 2017 dan akhirnya lumpuh sepenuhnya akibat penyakit sistem saraf pusat
  • Lin memfailkan saman dan perceraian terhadap Chang yang kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan meninggalkannya
  • Mahkamah menyediakan bantuan kewangan kepada Lin dan insiden tersebut mendapat perhatian serta reaksi pelbagai di media sosial China

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!