Zhariff Afandi kembali ke dunia akademik, daftar pengajian sarjana di USIM

Zhariff Afandi mendaftar sebagai pelajar Sarjana Sains Sosial di USIM.
Zhariff Afandi mendaftar sebagai pelajar Sarjana Sains Sosial di USIM.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pengasas Bersama bagi Malaysia Centre for Well-Being, Muhammad Zhariff Afandi, kembali ke dunia akademik apabila secara rasmi mendaftar sebagai pelajar Sarjana Sains Sosial di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi sesi 2025/2026.

Ikon motivasi dan aktivis sosial berusia 44 tahun itu memilih untuk menyambung pengajian melalui penyelidikan bertajuk Islamic Modality in Psychological Self Care, di bawah bimbingan Dr Nurhafizah Mohd Sukor dan Dr Dini Farhana Baharudin.

Anak kelahiran Selangor ini pernah mencuri perhatian ramai kerana ketabahannya menjalani kehidupan tanpa kedua-dua belah tangan namun berjaya membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang kejayaan.

Zhariff merupakan graduan Psikologi dari Griffith University, Australia, dan kini terlibat dengan sebuah agensi perunding berimpak sosial yang dikenali sebagai Goodwill selain merupakan pengasas The Zhariff Initiative (TZI) yang aktif dalam pembangunan belia dan kepimpinan sosial.

Beliau berkata, usia tidak menghalangnya untuk terus meningkatkan pengetahuan dengan menyambung pengajian.

“Pembelajaran tidak dibataskan oleh umur, tetapi diteruskan selagi ada semangat, keyakinan dan kesungguhan. Cara paling cepat untuk memperoleh keyakinan diri adalah dengan tidak takut mencuba,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan USIM.

Antara pengiktirafan yang pernah diterimanya termasuk Anugerah Belia Negara (Sosial dan Komuniti) 2006, Anugerah Belia Perdana (Pencapaian Luar Biasa) 2011, serta Griffith Health Outstanding International Alumnus Award 2020.

Kehadiran Zhariff di USIM bukan sahaja memberi inspirasi kepada warga kampus, malah memperkukuh usaha universiti dalam memperluas horizon ilmu berteraskan nilai kemanusiaan, spiritual dan kesejahteraan sejagat.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Muhammad Zhariff Afandi mendaftar sebagai pelajar Sarjana Sains Sosial di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk sesi 2025/2026
  • Beliau akan menyelidik tentang Islamic Modality in Psychological Self Care
  • Zhariff adalah seorang aktivis sosial dan ikon motivasi yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangan
  • Beliau sudah memiliki ijazah Psikologi dari Griffith University, Australia dan kini berkhidmat sebagai Perunding Kanan UNICEF Malaysia
  • Zhariff percaya pembelajaran tidak dibataskan oleh umur dan terus berusaha meningkatkan pengetahuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!