Anwar gesa negara anggota ASEAN ganda usaha realisasikan grid kuasa serantau

Anwar berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di KLCC pada Khamis.
Anwar berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di KLCC pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota ASEAN supaya menggandakan usaha mereka bagi merealisasikan rangkaian grid kuasa serantau yang saling berhubung, sejajar dengan peralihan tenaga ASEAN.

Beliau berkata, landskap tenaga global sedang berubah akibat tekanan daripada usaha pengurangan karbon, keselamatan bekalan serta kemampuan kos, dan rantau ini juga tidak terkecuali.

"Bagi ASEAN yang memiliki 680 juta penduduk dan tergolong antara ekonomi yang paling pesat berkembang, transformasi ini perlu diurus dengan penuh tanggungjawab dan secara bersama-sama," kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di sini pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, di bawah kepengerusian Malaysia tahun ini, rantau ini telah mencapai keputusan penting dalam sektor tenaga termasuk pelaksanaan Fasa Satu Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) dan pengesahan Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkat mengenai Grid Kuasa ASEAN (APG).

Beliau berkata, keputusan terbabit yang menandakan kemajuan penting dalam integrasi serantau dan peralihan tenaga, akan menjadikan APAEC sebagai panduan dasar ASEAN untuk masa akan datang, dengan menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengembangkan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan sambungan serantau.

"Ia turut meletakkan kesaksamaan sebagai fokus utama dalam peralihan kita. Ia memastikan setiap negara anggota maju mengikut kadar masing-masing ke arah masa depan tenaga yang rendah karbon, lestari dan bersepadu," kata beliau.

Anwar berkata, APG merupakan tonggak utama dalam visi tenaga ASEAN, yang mencerminkan aspirasi rantau ini untuk menghubungkan sistem kuasa, berkongsi sumber dan memperkukuh daya tahan melalui kebergantungan bersama.

"Dengan ini kita dapat memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memastikan tenaga elektrik yang boleh dipercayai serta berpatutan merentasi sempadan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, Malaysia telah lama menyokong pelaksanaan APG dan negara ini merupakan sebahagian daripada Projek Integrasi Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura, yang telah membolehkan perdagangan tenaga secara pelbagai hala.

Perdana Menteri berkata, persiapan untuk sambungan antara Vietnam-Malaysia-Singapura sedang giat dijalankan, selain kerja-kerja lanjut di bawah kerangka Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina.

"Rangkaian grid yang saling bersambung mengukuhkan integrasi serantau, menarik pelaburan hijau, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta menjadikan ASEAN sebagai hab bagi industri dan teknologi tenaga bersih," kata beliau.

Namun, Anwar berkata, hasrat berkenaan berdepan dengan cabaran dari segi penyelarasan peraturan, pembiayaan infrastruktur dan memastikan tadbir urus yang berkesan.

Cabaran berkenaan, kata beliau, sememangnya besar namun mampu diatasi dengan adanya kepercayaan, kesungguhan dan kemahuan politik.

Sehubungan dengan itu, Anwar menggesa negara anggota ASEAN untuk mempergiat usaha dalam mempercepat projek sambungan, menyelaras kerangka peraturan dan memperkukuh kerjasama awam-swasta. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota ASEAN menggandakan usaha untuk merealisasikan rangkaian grid kuasa serantau
  • Beliau menyatakan transformasi sektor tenaga diperlukan bagi menghadapi usaha pengurangan karbon dan memastikan keselamatan bekalan
  • Malaysia, sebagai pengerusi, telah mencapai kemajuan dalam sektor tenaga termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN dan pengesahan Memorandum Persefahaman tentang Grid Kuasa ASEAN
  • APG dipandang sebagai langkah penting dalam integrasi serantau dan peralihan ke tenaga yang lebih boleh diperbaharui dan berkelanjutan
  • Projek sambungan tenaga antara negara-negara ASEAN seperti Laos-Thailand-Malaysia-Singapura dan Vietnam-Malaysia-Singapura sedang dijalankan untuk menguatkan integrasi serantau dan menarik pelaburan hijau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!