Desakan hidup, bapa terpaksa hantar tiga anak ke rumah anak yatim

Sun Chin (kiri) menerima kehadiran tiga kanak-kanak berkenaan sebagai penghuni baharu Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan.
Sun Chin (kiri) menerima kehadiran tiga kanak-kanak berkenaan sebagai penghuni baharu Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan.
A
A
A

 

IPOH - Kerana desakan hidup, seorang bapa tunggal terpaksa mengambil keputusan sukar menghantar tiga orang anaknya ke sebuah rumah anak yatim di Teluk Intan.

Kisah sedih itu dikongsi Pengerusi Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan, Kong Sun Chin yang menerima dengan terbuka tiga beradik berusia lima, tujuh dan sembilan tahun itu pada Isnin lalu.

Menurutnya, bapa kanak-kanak itu berbuat demikian kerana tidak mampu menyara anaknya dengan pendapatan sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur.

"Saya difahamkan sebelum ini anak-anaknya dihantar ke sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur.

"Tetapi disebabkan tidak lagi mampu, dia bawa anaknya untuk tinggal di sini selepas tahu kewujudan pusat jagaan ini. Kebetulan pula bapa kanak-kanak ini berasal dari Teluk Intan.

"Kita terima permintaan untuk anak-anaknya tinggal di sini tanpa sebarang bayaran kerana keadaan kehidupannya yang sukar ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Lelaki tersebut terpaksa mengambil keputusan menumpangkan tiga anaknya di Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan.
Lelaki tersebut terpaksa mengambil keputusan menumpangkan tiga anaknya di Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

Sun Chin berkata, pusat jagaannya itu tidak menghalang untuk lelaki berusia 56 tahun itu bertemu atau mengambil anak-anaknya pada bila-bila masa.

Bercerita mengenai pusat jagaannya, beliau menjelaskan ketika ini terdapat seramai 43 orang penghuni yang merupakan anak yatim serta dalam kalanga keluarga susah.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2009 Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan beroperasi dengan dana sendiri sebelum mendapat sumbangan orang ramai serta geran daripada agensi kerajaan.

"Di sini kita hantar mereka pergi ke sekolah dan kita sediakan juga tuisyen untuk anak-anak supaya mereka lebih cemerlang.

"Sudah ramai anak-anak yang tinggal di sini berjaya melanjutkan pelajaran di universiti malah ada yang akan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana," katanya.

Kisah bapa tunggal itu sebelum ini tular selepas disiarkan akhbar Sin Chew Daily dan beberapa portal lain.

Dalam satu rakaman video, lelaki itu tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika memberikan nasihat kepada ketiga-tiga anaknya sebelum meninggalkan mereka di pusat jagaan berkenaan.

Anaknya ada yang menangis, ada yang diam mendengar nasihat ayah mereka.

Kelihatan lelaki itu mengesat air mata berkali-kali sambil memeluk erat tiga anaknya semasa menitipkan pesanan sebelum mereka berpisah sementara.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang bapa tunggal terpaksa hantar tiga anaknya ke rumah anak yatim kerana masalah kewangan
  • Anak-anak berusia lima, tujuh, dan sembilan tahun itu diterima di Pusat Jagaan Kebajikan Anak Anak Yatim Jaz Teluk Intan
  • Bapa tersebut bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur tetapi tidak mampu menyara hidup
  • Pusat Jagaan membolehkan bapa tersebut bertemu atau mengambil anak-anaknya pada bila-bila masa
  • Pusat Jagaan ini menampung 43 orang penghuni dan telah beroperasi sejak 2009 dengan dana sendiri dan sumbangan orang ramai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!