Jati diri kuat benteng elak terlibat jenayah rasuah

SHAH ALAM – Dalam usaha membanteras rasuah yang terus menjadi barah sosial dan pentadbiran, pembentukan jati diri yang kukuh dalam diri setiap individu menjadi faktor paling asas dan penting untuk mencegah rasuah daripada berakar umbi.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, kekuatan jati diri bukan hanya ditentukan oleh tahap pendidikan atau kedudukan seseorang, tetapi oleh sistem nilai dalaman yang dibentuk melalui asuhan, pendidikan moral dan kesedaran agama sejak kecil.
"Apabila seseorang mempunyai prinsip yang jelas tentang betul dan salah, dia tidak mudah tergoda dengan peluang melakukan rasuah walaupun ganjarannya besar.
"Jati diri yang kukuh berfungsi sebagai ‘benteng moral’ ketika berdepan dengan tekanan, godaan dan konflik kepentingan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, seorang pesara tentera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM405,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Wang rasuah itu diterima sebagai balasan untuk menjual aset Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi pada Isnin ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Tambah Hamdan Daniel, berita mengenai penglibatan pegawai beruniform dalam kes rasuah terus mencetuskan rasa sedih dan kecewa dalam kalangan rakyat, terutama ketika kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, giat memperhebat usaha membanteras gejala itu.
"Apabila seseorang yang pernah menggalas tanggungjawab mempertahankan tanah air sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan peribadi, ia mencerminkan kehilangan jati diri dan integriti yang parah. Ini bukan sekadar isu salah guna kuasa, tetapi menyentuh soal kedaulatan negara.
"Selagi jati diri dan integriti menjadi tunjang dalam diri setiap pegawai, selagi itulah kedaulatan negara akan terus terpelihara," katanya.
Menurutnya, pendidikan antirasuah yang berkesan juga perlu menyentuh aspek pembinaan jati diri, bukan sekadar menakut-nakutkan dengan hukuman.
Ujarnya lagi, melalui pendekatan nilai dan empati, masyarakat dapat melahirkan generasi yang bukan hanya tahu rasuah itu salah, tetapi benar-benar jijik untuk melakukannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

