Influenza: Orang ramai diminta tidak panik

Mokhtar (tengah), menyempurnakan gimik perasmian Mentari Johor Bahru sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 pada Selasa.
Mokhtar (tengah), menyempurnakan gimik perasmian Mentari Johor Bahru sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik berhubung penularan jangkitan influenza yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di sini baru-baru ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mokhtar Pungut @ Ahmad, orang ramai diminta untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala.

“Influenza ini sebenarnya penyakit yang biasa, seperti selesema. Jika ada gejala, dapatkan rawatan segera dan amalkan etika batuk serta pemakaian pelitup muka.

"Sekiranya melibatkan institusi ataupun sekolah yang terkesan, pihak sekolah atau institusi perlu memaklumkannya segera kepada Jabatan Kesihatan Daerah terdekat untuk membolehkan tindakan kawalan segera diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Mentari Johor Bahru sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 di sini pada Selasa.

Mokhtar (kanan) menandatangani plak perasmian Mentari Johor Bahru sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 pada Selasa.
Mokhtar (kanan) menandatangani plak perasmian Mentari Johor Bahru sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 pada Selasa.

Pada 9 Oktober lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru mengeluarkan notis penutupan kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2, selama 10 hari bermula jam 12.20 tengah hari pada Rabu hingga 17 Oktober ini apabila lima murid, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) disahkan positif Influenza A.

Mengulas lanjut Mokhtar berkata, seramai 2,777 individu di Johor telah menerima rawatan susulan berkaitan kesihatan mental di klinik kesihatan kerajaan dari Januari hingga Ogos tahun ini, dengan Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 1,140 kes.

Artikel Berkaitan:

Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesejahteraan mental serta keberkesanan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperluas akses rawatan di peringkat komuniti.

“Peningkatan ini tidak semestinya menunjukkan masalah semakin teruk, sebaliknya menandakan masyarakat kini lebih terbuka dan tidak malu tampil mendapatkan bantuan.

"Mentari bukan sekadar tempat rawatan, malah berfungsi sebagai pusat pemulihan sosial kepada pesakit yang stabil melalui program latihan pekerjaan, terapi psikososial dan aktiviti komuniti yang menyokong pemulihan jangka panjang, selain membentuk keyakinan diri dan menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap isu kesihatan mental.

“Seperti penyakit lain, lebih cepat ia dikesan, lebih tinggi peluang untuk pulih dan kembali menjalani kehidupan normal. Jadi, rawatan awal amat penting,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!