15 kluster baharu jangkitan influenza, salur pernafasan pada ME 39/2025 - KKM

KKM sahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan pada ME 39/2025 dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika - Gambar hiasan
KKM sahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan pada ME 39/2025 dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 39/2025 berbanding tiga kluster minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika, tanpa kematian dilaporkan.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 214 kluster, berkurang 33 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Survelan makmal mengesahkan tiada mutasi baharu dan peningkatan kes berpunca daripada strain sedia ada dengan dominasi Influenza A (H3), selaras dengan trend di Hemisfera Selatan.

"Peningkatan kes berkemungkinan dipacu aktiviti sosial dan perjalanan selepas musim cuti," menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan sepanjang September tahun ini kadar Penyakit Seperti Influenza (ILI) kekal stabil sekitar 5.65 peratus hingga 6.25 peratus.

Kemasukan ke hospital bagi kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) adalah 10.65 peratus pada minggu sebelumnya (ME 38/2025) tetapi telah menurun kepada 9.59 peratus pada ME 39/2025.

Menurut kenyataan itu, KKM sentiasa memantau trend jangkitan influenza mahupun kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan melalui sistem pelaporan sedia ada dan daripada lokasi sentinel yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

"Secara umum, jangkitan influenza lazimnya ringan dan pulih dalam seminggu tetapi boleh menjadi serius bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, dan pesakit kronik," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, mengambil kira peningkatan kes dan kluster yang dilaporkan di institusi pendidikan, KKM menyarankan agar pihak sekolah memantau pelajar yang bergejala dan memastikan pengasingan dilaksanakan dengan segera, khususnya bagi pelajar yang tinggal di asrama.

Artikel Berkaitan:

KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi murid, guru, dan petugas yang bergejala atau berisiko tinggi, menyediakan cecair pembasmi kuman serta memastikan kebersihan persekitaran terjaga dan memaklumkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya berlaku peningkatan kes.

Kementerian turut menasihati orang ramai untuk mengamalkan langkah kesihatan kendiri seperti menjaga kebersihan diri, tidak berkongsi peralatan peribadi, serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul.

Mereka yang bergejala disarankan berehat di rumah dan mengelakkan berada di tempat awam, dan sekiranya perlu keluar individu bergejala digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.

"Selain itu, golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil dan individu menghidap penyakit kronik digalakkan mendapatkan vaksin influenza bermusim setiap tahun.

"Warga emas boleh mendapatkan vaksin ini di Klinik Kesihatan terpilih," menurut KKM

Menurut kenyataan itu, KKM akan terus memantau perkembangan kes influenza dalam dan luar negara berdasarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa serantau, serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan. - Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • KKM mengesahkan 15 kluster baharu jangkitan influenza dan saluran pernafasan pada Minggu Epidemiologi 39/2025
  • Majoriti kluster melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah dan tadika
  • Jumlah keseluruhan kluster setakat ini adalah 214, berkurang 33 peratus berbanding tahun lepas
  • Survelan makmal mengesahkan tiada mutasi baharu dan dominasi Influenza A (H3)
  • KKM menyarankan pihak sekolah memantau pelajar bergejala dan menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi yang bergejala atau berisiko tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!