Covid-19: Pengeluaran KWSP sepatutnya 50 peratus kadar gaji

A
A
A

SHAH ALAM - Kebenaran mengeluarkan simpanan akaun kedua Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) tidak sepatutnya diberikan kepada semua pekerja sebaliknya fokus terhadap golongan terjejas sahaja.

Perunding Dasar dan Polisi Awam, Faizal Riduan berkata, mereka ialah pekerja yang diarahkan bercuti tanpa gaji atau diberhentikan kerja akibat penularan Covid-19.

Katanya, jumlah pengeluaran tidak perlu dihadkan sebanyak RM500 tetapi 50 peratus daripada kadar gaji pekerja terbabit.

"Tidak perlu hadkan pengeluaran tetapi benarkan mereka yang perlu bercuti atau terpaksa berhenti kerja menggunakan wang KWSP, mungkin 50 peratus daripada kadar gaji dia (bulanan).

"Kalau gaji RM5,000 kemudian ditamatkan perkhidmatan, tak akan nak bagi keluar RM500? macam mana nak bertahan hidup?," katanya kepada Sinar Harian.

Faizal berkata, pengeluaran 50 peratus daripada kadar gaji adalah lebih bersasar daripada jumlah had RM500 untuk semua golongan pekerja.

Beliau turut mempersoalkan pekerja yang bergaji RM8,000 hingga RM10,000 yang turut dibenarkan mengeluarkan wang KWSP.

Justeru beliau mencadangkan agar pekerja yang bergaji tetap dan stabil tidak dibenarkan berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Simpanan mereka akan berkurang. Kerajaan sebenarnya nak melepaskan kesulitan, sepatutnya kerajaan membantu lebih banyak tapi suruh keluar guna duit sendiri.

"Kita bantu diri kita sendiri untuk pastikan ekonomi bergerak.

"Memang keputusan kerajaan itu bijak tapi saya tidak bersetuju RM500 itu, sangat meluas. Tidak fokus kepada kumpulan sasar," katanya.