Kerajaan jawab kontroversi pengeluaran KWSP Isnin ini

Ahmad (gambar kecil) akan menjawab isu kontroversi berhubung pengeluaran KWSP di Dewan Negara, Isnin ini.
Ahmad (gambar kecil) akan menjawab isu kontroversi berhubung pengeluaran KWSP di Dewan Negara, Isnin ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menjawab isu kontroversi berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Dewan Negara, pada Isnin ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau akan menjawabnya melalui sesi penggulungan susulan usul bagi membawa isu itu ke Dewan Negara sudah diluluskan untuk dibahaskan dalam kalangan senator.

"Isnin ini akan ada usul berhubung KWSP yang akan dibawa pada kira-kira jam kira-kira jam 4 atau 4.30 petang. Lebih sejam saya akan mendengar pandangan senator berhubung dua perkara.

"Perkara pertama mengenai kumpulan pengeluaran bersasar dan yang kedua mengenai jaminan pinjaman iaitu mereka yang meminjam bank dijamin dengan wang KWSP," katanya pada Jumaat.

Pembukaan sesi Dewan Rakyat Isnin lalu kecoh selepas hampir semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan kerana tidak berpuas hati dengan penolakan usul bagi membahaskan pengeluaran KWSP secara bersasar oleh Speaker.

KWSP dalam kenyataannya sebelum ini mengumumkan pencarum berusia 40 tahun dan ke atas yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) bermula Khamis.

Sementara itu, Ahmad menjelaskan, beliau sudah menerima taklimat daripada KWSP mengenai jumlah pencarum yang sudah melakukan pinjaman cagaran di mana semua data serta maklumat itu akan dikeluarkan Isnin ini.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan penjawat awam muda agar membeli kediaman pada usia 20-an bagi mengelak beban hutang isi rumah yang tinggi sekali gus terpaksa menggunakan wang persaraan bagi tujuan pembayaran ansuran pinjaman.

Menurutnya, hutang isi rumah memang tinggi di Malaysia yang mana kebanyakan mereka gunakan untuk membeli rumah dan kenderaan selain hutang pendidikan.

"Harapan kita supaya penjawat awam muda membeli rumah lebih awal, saya diberi taklimat kebanyakan mereka (penjawat awam) beli rumah usia 30 hingga 40 tahun.

"Mungkin mereka masih merancang kehidupan, tetapi kita berharap hutang isi rumah ini apabila pencen tidak memberi tekanan kewangan mereka," ujarnya.