Pemandu lori 'lari' pemeriksaan polis, pandu melulu lawan arus

Kenderaan dipandu suspek berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran UTP Seri Iskandar selepas aksi kejar lebih 150 kilometer.
Kenderaan dipandu suspek berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran UTP Seri Iskandar selepas aksi kejar lebih 150 kilometer.
A
A
A

KAMPAR - Tindakan berani seorang pemandu lori simen melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan penahanan dirinya di kawasan semak berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar selepas dikejar lebih 150 kilometer dari Hulu Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditahan selepas enggan berhenti walaupun dikejar beberapa pasukan peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Kampar dan Perak Tengah.

Menurutnya, kejadian bermula apabila pihak polis menerima maklumat berhubung sebuah lori simen yang enggan berhenti daripada pemeriksaan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

"Setibanya di Tol Gopeng, pasukan MPV Kampar cuba menutup laluan menggunakan penghadang air (water barrier), namun lori itu melanggar palang tol dan terus memandu laju menuju ke Kampar," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, ketika melalui Bandar Baru Kampar, pemandu terbabit bertindak agresif dengan menghimpit kenderaan polis dan memandu melawan arus, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Arahan berhenti telah diberikan berulang kali, tetapi tidak diendahkan. Suspek terus memandu kenderaannya hingga ke Gopeng dan Tanjung Tualang," katanya.

Tambah Mohamad Nazri, anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan lori di Jalan Ipoh-Kampar bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada orang awam.

Bagaimanapun katanya, suspek tetap meneruskan pemanduan dalam keadaan tayar hadapan pecah dan bertindak agresif dengan menghimpit kenderaan pasukan yang cuba memintas.

"Suspek kemudiannya membuat pusingan U dihadapan UTP dan dengan bantuan IPD Perak Tengah, kenderaan terbabit berjaya ditahan di kawasan semak bersebelahan kawasan universiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dirinya positif dadah jenis opiat (morfin).

"Semakan juga mendapati, lelaki terbabit yang beralamat dari Batu Kurau mempunyai 13 rekod lampau membabitkan dua kes jenayah dan 11 kes narkotik.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Ringkasan AI

  • Pemandu lori simen dikejar lebih 150 kilometer dari Hulu Selangor ke Kampar kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis
  • Suspek ditahan di kawasan semak berhampiran UTP Seri Iskandar selepas enggan berhenti walaupun dikejar beberapa pasukan peronda
  • Lori tersebut melanggar palang tol dan terus memandu laju serta bertindak agresif dengan menghimpit kenderaan polis dan memandu melawan arus
  • Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar lori untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada orang awam
  • Ujian saringan air kencing suspek positif dadah jenis opiat dan dia mempunyai 13 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!