Tumbangnya sebuah kerajaan, kebangkitan Gen Z di Nepal

Banyak pengajaran daripada apa yang berlaku d Nepal dalam masa 30 jam itu. Ini merupakan 'Revolusi Gen Z' yang pertama di dunia. Foto AFP
Banyak pengajaran daripada apa yang berlaku d Nepal dalam masa 30 jam itu. Ini merupakan 'Revolusi Gen Z' yang pertama di dunia. Foto AFP
A
A
A

HANYA dalam masa 30 jam mereka berjaya menumbangkan sebuah kerajaan. Perdana Menteri tiga penggal KP Sharma Oli terpaksa meletakkan jawatan.

Beberapa orang menteri dimalukan di khalayak ramai. Bangunan kerajaan dan tempat-tempat yang dianggap simbol kekuasaan yang korup dibakar dan dimusnahkan. Demikian juga premis perniagaan yang dikaitkan dengan kapitalisme kroni.

Mereka bangkit tanpa ketua, tidak dirancang dan spontan. Anehnya mereka berbekalkan platform media sosial yang tidak popular di Nepal – Discord - yang lebih merupakan platform chatroom untuk gamers.

Platform inilah yang menjadi penggerak pada kebangkitan anak muda Nepal. Discord menjadi wahana dialog politik dan aktivisme politik Gen Z.

Gen Z atau Generasi Z merujuk pada demografi yang lahir di antara tahun 1997 hingga 2012, maknanya rata-rata di bawah 30 tahun. Mereka adalah generasi selepas ‘Millennials.’

Selama ini mereka tidak pernah dianggap ancaman bagi status quo mana-mana kerajaan atau parti politik. Tapi di Nepal, generasi ini menunjukkan pada dunia bagaimana mereka bangkit menentang kerajaan yang dianggap korup dan pemimpin yang dikatakan tidak mempedulikan mereka.

Mereka mendapat inspirasi daripada demonstrasi pelajar, badan sivil dan rakyat pada bukan Ogos tahun ini di Indonesia. Penunjuk perasaan Indonesia menampakkan kekecewaan dan kemarahan terhadap sebahagian anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang angkuh dan merendahkan mereka.

Mereka kecewa dengan keadaan ekonomi yang menyebabkan berlakunya banyak pembuangan pekerja dan kurangnya pekerjaan.

Lebih penting lagi mereka marah dengan gaya hidup sebilangan ahli politik serta elaun keterlaluan yang diperoleh oleh anggota DPR.

Artikel Berkaitan:

Mereka menuntut 18 campur 7 perkara. Paling utama adalah desakan agar diluluskan rang undang-udang perampasan aset bagi mereka yang didapati bersalah dalam kes rasuah di Indonesia.

Di Nepal, kemarahan generasi muda terhadap pimpinan politik sudah lama kedengaran. Tapi elit politik negara pergunungan yang penduduknya seramai 30 juta orang itu tidak mengendahkannya.

Anak-anak ahli politik tertentu (dilabelkan Nepo babies) memperagakan kemewahan melampau sedangkan rakyat menderita. Kebangkitan yang terlihat di Kathmandu, Pokhara dan kota-kota utama Nepal yang lain memeranjatkan banyak pihak.

Di tengah kekecohan, kematian tidak dapat dielakkan (45 orang), akhirnya polis berundur ke berek dan tentera mengambil alih. Pihak tentera memulakan perbincangan dengan wakil penunjuk perasaan.

Keputusannya adalah mantan Ketua Hakim Negara, Shusila Karka dilantik Perdana Menteri sementara sehingga pilihan raya diadakan pada bulan Mac tahun hadapan.

Jalan-jalan di Kathmandu, Pokhara dan kota-kota utama Nepal kembali sepi. Hidup rakyat kembali normal.

Demikianlah uniknya ‘Revolusi Gen Z’ di Nepal. Banyak yang mengatakan generasi ini tidak peduli politik. Mereka dianggap sebagai digital natives yang hidup hanya dengan peralatan komunikasi dan melayani platform media sosial.

Mereka bernafaskan internet, wifi, telefon pintar dan media sosial. Maka itu tidak hairanlah jikalau tindakan kerajaan mengharamkan semua platform media sosial menjadi pencetus kebangkitan itu.

Generasi ini sebenarnya prihatin terhadap apa yang berlaku. Mereka menyedari bahawa korupsi menjerumuskan negara mereka pada kedudukan yang malang.

Nepal punya potensi sumber alam yang luar biasa. Tetapi tanpa tata kelola yang baik dan ketirisan akibat dari korupsi, Nepal menjadi salah sebuah negara termiskin di dunia.

Banyak pengajaran daripada apa yang berlaku d Nepal dalam masa 30 jam itu. Ini merupakan ‘Revolusi Gen Z’ yang pertama di dunia.

Elit politik di mana-manapun mulai menyedari ‘kuasa’ generasi ini. ‘Gen Z Power’ menjadi sesuatu yang menakutkan mana-mana kerajaan.

Selama berbulan-bulan rakyat yang meluat mencuba menumbangkan kerajaan yang dianggap korup di Bangladesh.

Pelbagai demonstrasi berlaku di Indonesia, Filipina, Sri Langka dan Timor-Leste. Tetapi di Nepal sebuah kerajaan tersungkur dalam masa 30 jam.

‘Suara orang muda’ selama ini selalu dikaitkan dengan generasi Millennials tetapi kali ini generasi di bawah 30 tahun tidak menunjukkan kuasa di peti undi tetapi di jalanan. Gen Z telah menggembleng tenaga dan kekuatan media sosial untuk ‘mengajar’ elit politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai reaksi kepada apa yang berlaku di Nepal dan di tempat-tempat lain mengakui perlunya mendengar suara Gen Z.

Kata beliau adalah penting dialog diwujudkan dengan generasi ini.

Akauntabiliti politik harus dibangunkan dalam konteks mengendalikan golongan muda.

Pimpinan politik di mana pun di dunia hari ini mulai membuka mata tentang bahayanya jikalau Gen Z diabaikan suara dan aspirasi mereka.

*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau berada di Nepal beberapa hari selepas berakhirnya demonstrasi di kota-kota utama negara itu.

Ringkasan AI

  • Hanya dalam masa 30 jam mereka berjaya menumbangkan sebuah kerajaan di Nepal
  • Perdana Menteri KP Sharma Oli terpaksa meletakkan jawatan
  • Kebangkitan dijalankan oleh anak muda Nepal menggunakan platform media sosial Discord
  • Generasi Z menunjukkan kekuatan mereka menentang kerajaan yang korup dan tidak mempedulikan rakyat
  • Mantan Ketua Hakim Negara, Shusila Karka dilantik sebagai Perdana Menteri sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!