Apabila Gen Z bangkit lawan rasuah

GELOMBANG protes yang tercetus di Nepal dan Indonesia menandakan perubahan besar dalam lanskap politik Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Generasi Z di kedua-dua negara itu membuktikan mereka bukan lagi penonton pasif, sebaliknya muncul sebagai ejen perubahan yang berani dan pantas. Protes yang pada awalnya berkisar kepada isu sekatan media sosial dan tekanan ekonomi harian bertukar menjadi gerakan menuntut ketelusan serta pembaharuan institusi.
Kemahuan untuk menamatkan rasuah, nepotisme dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar menjadi nadi tuntutan anak muda.Walaupun bermula dengan latar punca berbeza, kedua-dua gerakan berkongsi persamaan jelas dalam cara mereka digerakkan.
Rangkaian media sosial menjadi tulang belakang mobilisasi, menggantikan peranan struktur politik tradisional. Klip video pendek, grafik ringkas dan ruang sembang tertutup menjadi alat utama untuk menyebarkan mesej serta mengatur tindakan.
Pendekatan ini membolehkan setiap peristiwa didokumentasikan dan disebarkan secara masa nyata.
Bahasa visual dan simbol budaya pop termasuk bendera ‘Topi Jerami’ daripada dunia anime mengukuhkan identiti kolektif penunjuk perasaan.
Simbolisme ini memudahkan isu tempatan difahami melangkaui sempadan negara dan generasi. Platform seperti TikTok, Instagram, Discord dan Telegram memberi kelebihan kepada Gen Z untuk menggerakkan protes dengan kos rendah dan pantas. Kawalan maklumat oleh saluran tradisional menjadi semakin sukar berdepan strategi digital yang lincah.
Kerajaan di kedua-dua negara bertindak dengan cara berbeza, daripada menutup platform media sosial hingga mengerahkan pasukan keselamatan. Ada yang menubuhkan suruhanjaya siasatan sebagai langkah sementara untuk meredakan ketegangan.
Namun, tindakan keras atau sekatan hanya berkesan jangka pendek dan jarang menyentuh akar punca kemarahan rakyat.
Tuntutan penunjuk perasaan menekankan keperluan pembaharuan struktur, termasuk sistem kehakiman yang bebas dan undang-undang antirasuah yang tegas. Peningkatan perlindungan sosial dan dasar ekonomi inklusif turut menjadi desakan utama.
Kegagalan memenuhi tuntutan ini boleh menghakis legitimasi kerajaan dan melemahkan kepercayaan awam. Pemimpin yang menolak suara generasi muda berisiko kehilangan sokongan jangka panjang.Keadaan itu akhirnya boleh mencetuskan ketidakstabilan politik berterusan.
Bagi masyarakat sivil, cabaran terbesar ialah menukar semangat protes kepada agenda pembaharuan yang tersusun. Platform dialog yang diyakini dan pemantauan bebas terhadap langkah keselamatan amat diperlukan. Belia wajar diberi ruang lebih luas dalam proses pembuatan dasar dan pentadbiran tempatan.
Sebagai jiran serantau, Malaysia wajar mengambil iktibar daripada kebangkitan ini. Pengukuhan mekanisme tadbir urus dan saluran aduan awam harus menjadi keutamaan.
Peluang ekonomi untuk anak muda perlu diperluas bagi mengurangkan tekanan sosial. Langkah praktikal termasuk mempercepat reformasi antirasuah dan meningkatkan ketelusan penggunaan dana awam. Jaringan keselamatan sosial juga harus diperkasa bagi melindungi golongan rentan.
Di peringkat global, kebangkitan Gen Z mendapat perhatian kerana menyorot isu ketidaksamaan, rasuah dan kebebasan bersuara. Cara kerajaan menangani tuntutan ini akan dinilai bukan sahaja oleh rakyat, tetapi juga masyarakat antarabangsa.
Gelombang protes ini menguji keupayaan pemimpin melakukan refleksi dan menyesuaikan diri dengan realiti baharu politik generasi muda. Ia bukan sekadar cabaran kepada kestabilan negara, tetapi panggilan jelas supaya kelas politik mendengar rintihan rakyat.
Generasi muda bakal mewarisi masa depan negara, maka suara mereka perlu dilihat sebagai keperluan strategik, bukan ancaman.
Hanya melalui pembaharuan berani, keamanan sosial dan kemakmuran jangka panjang dapat dijamin.
Zulhilmi Hat ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
