Covid-19: Bursa Malaysia ditutup rendah ketara hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia ditutup rendah dengan ketara hari ini susulan penyusutan harga minyak yang berterusan di tengah-tengah kebimbangan akibat kes kematian yang meningkat akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Pada penutup, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 43.40 mata kepada 1,259.88 berbanding 1,303.28 ketika ditutup Jumaat.

Indeks utama susut 53.78 mata kepada 1,249.50 pagi ini dengan indeks petunjuk utama bergerak 33.80 mata di antara 1,241.46 dan 1,275.26 sepanjang sesi dagangan.

Daripada keseluruhan indeks di bursa tempatan, modal bersaiz sederhana dan kecil mengalami tekanan jualan sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 772 berbanding 161, manakala 217 kaunter tidak berubah, 869 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.80 bilion saham bernilai RM2.31 bilion berbanding 5.05 bilion saham bernilai RM4.04 bilion pada Jumaat.

Menurut penganalisis, selain 30 syarikat utama di bawah indeks KLCI, saham modal bersaiz sederhana khususnya membabitkan tenaga, pembinaan dan hartanah menyaksikan tekanan jualan yang berterusan.

“Tenaga adalah yang paling teruk terjejas berikutan penurunan ketara harga minyak, manakala sektor hartanah dan pembinaan bergantung kepada permintaan domestik yang terarah kepada kemerosotan pada sepanjang tahun akibat kelembapan ekonomi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada langkah kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 untuk kegunaan peribadi akan melembapkan pasaran berikutan RM40 juta dianggar dikeluarkan daripada dana itu, beliau berkata, langkah itu akan menstabilkan pasaran.

“Ia tidak akan menjadi laluan yang cerah ke atas dana itu serta bursa tempatan pada masa ini, namun, pendekatan itu diperlukan untuk memberikan semula wang itu kepada rakyat. Bagaimanapun, sekiranya situasi ini berpanjangan, ia akan menjejaskan pencarum untuk jangka panjang terutamanya dari segi dividen,” katanya.

KWSP adalah antara pelabur institusi yang utama di Bursa selain Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd yang memegang sebahagian besar dalam saham wajaran tinggi selain mengawal dan memiliki majoriti saham di kebanyakan modal bersaiz sederhana dan kecil.

Di KLCI, hanya Public Bank dan Hartalega berakhir positif dengan masing-masing meraih 20 sen dan enam sen kepada RM12.70 dan RM6.68.

Maybank susut 39 sen kepada RM7.12 manakala CIMB Group jatuh 35 sen kepada RM3.29.

Kesemua saham berkaitan Petronas kekal di bawah tekanan akibat penurunan drastik harga minyak di peringkat global dengan Petronas Chemicals rendah 16 sen kepada RM4.27, MISC susut empat sen kepada RM7.40, Petronas Gas jatuh 42 sen kepada RM15.26 dan Petronas Dagangan kurang 76 sen kepada RM19.24.

Bagi saham aktif, AirAsia Group menggungguli senarai selepas pengasas bersamanya Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun tidak terbabit dalam dakwaan rasuah berkaitan skandal Airbus.

Bagaimanapun, akibat keadaan semasa yang berlaku dalam industri pengangkutan khususnya syarikat penerbangan yang bergelut dengan isu mengenai COVID-19, harga saham jatuh tujuh sen kepada 61 sen dengan 72.91 juta saham diniagakan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 341.16 mata kepada 8,501.62, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 341.16 mata kepada 8,501.62 dan FBM 70 turun kepada 535.26 mata kepada 9,352.90.

Indeks FBMT 100 jatuh 331.18 mata kepada 8,458.11 dan FBM ACE susut 167.18 mata kepada 3,351.94.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan susut 4.62 mata kepada 95.13 mata, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 459.92 mata kepada 11,361.59 dan Indeks Perladangan 206.93 mata lebih rendah kepada 5,730.70.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 2.17 bilion saham bernilai RM2.18 bilion saham berbanding 3.98 bilion saham bernilai RM3.84 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan turun kepada 261.65 juta unit bernilai RM67.60 juta daripada 339.74 juta bernilai RM73.89 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 368.08 juta saham bernilai RM62.28 juta berbanding 731.38 juta saham bernilai RM128.28 sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 400.34 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (312.57 juta), pembinaan 2143.10 juta), teknologi (292.22 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (91.43 juta), hartanah (177.98 juta), perladangan (55.62 juta), REIT (254.69 juta), dana tertutup (34,100), tenaga (394.30 bilion), penjagaan kesihatan (66.28 juta), telekomunikasi dan media (29.87 juta), pengangkutan dan logistik (64.56 juta) serta utiliti (35.98 juta).-Bernama