Cake sambut baik kerajaan kekalkan harga minyak masak botol

Mohamad Yusrizal
Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyambut baik tindakan kerajaan yang terus menampung subsidi sebanyak RM5 juta untuk memastikan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol lima kilogram (kg) kekal pada harga RM30.90 untuk tempoh 8 Mei hingga 7 Jun depan.

Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya amat menitikberatkan perkara ini memandangkan minyak masak adalah salah satu barangan keperluan asas.

Mohamad Yusrizal berpandangan, sekiranya harga minyak masak mahal ia akan membebankan pengguna secara keseluruhan terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

"Inisiatif yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah harga kelapa sawit komoditi (perlu) dibezakan antara harga yang dieksport dengan harga yang dijual di pasaran tempatan.

"Harga komoditi ini sekiranya disamakan dengan eksport, maka ini yang membebankan pengguna di peringkat negara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, harga komoditi itu perlu dibezakan dengan harga eksport yang berkemungkinan lebih tinggi daripada harga dijual kepada domestik.

"Itu yang kita hendak. Sekarang, apabila harga pasaran dunia naik kita menjual kelapa sawit dalam negara juga dengan harga yang tinggi. Ini membebankan pengguna,"katanya.

Beliau berpandangan, perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan nilai mata wang luar negara tidak sama dengan nilai mata wang dalam negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berharap supaya kerajaan mengkaji balik perkara ini supaya boleh mengekang kenaikan harga minyak masak ini dari masa ke masa.

Pada Selasa, media melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, harga minyak botol dikekalkan dan kerajaan menanggung subsidi RM5 juta sebulan bagi memastikan harga produk itu kekal.

Salahuddin berkata, langkah sama turut dilakukan kerajaan pada bulan lalu berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO).