Bursa Malaysia jatuh 11.42 mata

Pada 5 petang, FBM KLCI menyusut 11.42 mata kepada 1,440.11 daripada 1,451.53 sewaktu ditutup pada Selasa. Foto hiasan
Pada 5 petang, FBM KLCI menyusut 11.42 mata kepada 1,440.11 daripada 1,451.53 sewaktu ditutup pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia secara keseluruhannya ditutup rendah pada Rabu, dengan indeks utama turun sebanyak 0.79 peratus di tengah-tengah aktiviti jualan yang giat dalam saham-saham berkaitan indeks yang diteraju oleh Petronas Chemicals dan Public Bank.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 11.42 mata kepada 1,440.11 daripada 1,451.53 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks utama dibuka dengan peningkatan 0.10 mata kepada 1,451.63 dan bergerak antara 1,439.13 dan 1,451.72 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 466 berbanding 379 manakala 489 kaunter tidak berubah, 1,018 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan turun kepada 3.23 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 3.31 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, penurunan di bursa tempatan terkesan terutamanya daripada faktor China kerana pelabur masih bimbang dengan pertumbuhan ekonomi serantau memandangkan "apabila China berdepan cabaran, pasaran Asean akan turut berkecenderungan untuk mengalami situasi yang lebih buruk.”

"Keadaan ini berbeza dengan pasaran AS yang mencatat peningkatan berikutan inovasi kecerdasan buatan dan ketika pertumbuhan terus bertahan. Disebabkan kebimbangan terhadap potensi ketidakstabilan di China, kelembapan itu menular ke pasaran ekuiti serantau,” katanya kepada Bernama.

Pada Julai, ekonomi China secara rasminya dilaporkan menyusut ke tahap deflasi buat kali pertama dalam tempoh dua tahun berikutan harga pengguna menyusut sebanyak 0.3 peratus.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin lepas, People's Bank of China mengurangkan satu daripada kadar faedah utamanya untuk kali kedua dalam tempoh tiga bulan.

Bank pusat China merendahkan kadar utama pinjaman satu tahun kepada 3.45 peratus berbanding 3.55 peratus. Bagaimanapun, langkah ini disifatkan mengecewakan kerana pasaran meramalkan pengurangan kadar yang lebih besar, mendorong pertumbuhan ekonomi menyusut terhadap ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 21 sen kepada RM6.80, Public Bank turun lima sen kepada RM4.08, IHH Healthcare dan IOI Corp masing-masing menguncup lapan sen kepada RM5.92 dan RM3.97, manakala Press Metal berkurangan enam sen kepada RM4.84 dan Sime Darby turun tujuh sen kepada RM4.32.

Dalam kalangan saham aktif, Perdana Petroleum meningkat lima sen kepada 23.5 sen, Parkson menokok 4.5 sen kepada 36.5 sen, MY EG meningkat setengah sen kepada 80.5 sen, Widad tidak berubah pada 44 sen, dan Bahvest menyusut lima sen kepada 31.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 62.08 mata kepada 10,635.90, Indeks FBMT 100 merosot 65.08 mata kepada 10,318.78, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 73.38 mata kepada 10,859.79, Indeks FBM 70 rendah 18.41 mata kepada 14,119.57 dan Indeks FBM ACE berkurangan 0.42 mata kepada 5,285.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 85.24 mata kepada 16,182.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.76 mata kepada 168.35, Indeks Perladangan turun 67.52 mata kepada 6,963.08 dan Indeks Tenaga menokok 12.51 mata kepada 823.78.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.16 bilion unit bernilai RM1.70 bilion daripada 2.33 bilion unit bernilai RM1.69 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 364.58 juta unit bernilai RM46.19 juta daripada 384.64 juta unit bernilai RM53.83 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 364.58 juta saham bernilai RM46.19 juta daripada 582.76 juta saham bernilai RM189.06 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 451.72 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (3.83 juta); pembinaan (97.73 juta); teknologi (202.10 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (83.94 juta); hartanah (296.88 juta); perladangan (62.91 juta); REIT (6.08 juta); dana tertutup (53,500); tenaga (420.83 juta); penjagaan kesihatan (33.60 juta); telekomunikasi dan media (39.61 juta); pengangkutan dan logistik (35.59 juta); serta utiliti (44.42 juta). - Bernama