'Bayaran kemudahan' percepat urusan satu kesalahan rasuah - SPRM

SHAH ALAM - Bayaran kemudahan atau facilitation payment (FP) yang diberi untuk memudahkan dan mempercepatkan proses biasa atau rutin boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, FP boleh ditafsirkan sebagai bayaran kecil dan tidak rasmi dibuat kepada pegawai awam.
Menurutnya, dalam keadaan normal, tiada bayaran yang perlu dibuat kepada mana-mana pegawai awam, selain caj yang sah untuk urusan berkenaan.
"Contoh FP ialah bayaran kepada pegawai kastam untuk mempercepatkan pelepasan barang, bayaran kepada pegawai imigresen supaya mempercepatkan proses perbaharui pasport, bayaran kepada pegawai pejabat tanah untuk mempercepatkan permohonan geran serta bayaran kepada kerani di sebuah pejabat untuk mempercepatkan apa-apa proses rasmi.
"Semua contoh tindakan ini boleh berlaku di dalam atau luar negara. Secara ringkasnya, sesuatu pembayaran kepada pegawai awam akan dianggap FP jika ia bertujuan mempercepatkan atau memudahkan apa-apa proses rutin," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, FP tidak melibatkan proses membuat keputusan.
Katanya, Transparency International United Kingdom mengklasifikasikan FP sebagai rasuah kecil dan dalam konteks undang-undang di Malaysia, transaksi FP boleh menjadi kesalahan memberi atau menerima suapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
"Peruntukan undang-undang ini terpakai sama ada melibatkan pegawai awam atau pekerja di sektor swasta," ujarnya.
Jelas Mohamad Tarmize, secara ringkasnya, kesalahan ini berlaku apabila mana-mana orang menawar, memberi, meminta atau menerima apa-apa bentuk suapan, bertujuan supaya seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan urusan rasmi.
"Transaksi FP menjadi kesalahan rasuah kerana mempunyai tiga kriteria berikut. Pertama, pemberi dan penerima FP mempunyai hubungan rasmi iaitu pegawai awam dan pelanggan.
"Kedua, FP melibatkan jumlah bayaran atau bentuk suapan tertentu. Amaun suapan boleh jadi kecil atau besar. Suapan tidak terhad kepada wang ringgit sahaja.
"Ketiga, FP mempunyai balasan tertentu iaitu mempercepatkan atau mempermudahkan urusan rasmi. Sekiranya tanpa FP, maka urusan tersebut tidak disegerakan dan akan melalui semua proses yang ditetapkan," katanya.
Tegasnya, tadbir urus baik dan amalan integriti bukan sahaja melindungi organisasi daripada risiko undang-undang dan kerugian kewangan, malah membina keyakinan pelanggan, pelabur serta masyarakat.
Ringkasan AI
- Bayaran kemudahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009
- FP ditafsirkan sebagai bayaran kecil tidak rasmi kepada pegawai awam untuk mempercepat proses rutin
- Tiada bayaran perlu dibuat kepada mana-mana pegawai awam selain caj sah untuk urusan berkenaan
- Transaksi FP boleh menjadi kesalahan memberi atau menerima suapan di bawah Akta SPRM
- Amalan integriti melindungi organisasi daripada risiko undang-undang dan kerugian kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
