Suami isteri pegawai imigresen buka kedai emas hasil wang rasuah - SPRM

Sebuah kedai emas di Pahang diserbu SPRM untuk siasatan kes rasuah.
Sebuah kedai emas di Pahang diserbu SPRM untuk siasatan kes rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disyaki menggunakan wang rasuah diterima dalam tempoh empat tahun untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.

Dalam tempoh itu, kedua-dua suspek dipercayai berperanan mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.

Memetik laman TikTok rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan mendedahkan pasangan terbabit menggunakan nama adik wanita berkenaan dan anak mereka sendiri sebagai proksi bagi membuka kedai emas tersebut.

Operasi khas Op Dygo turut menahan reman pasangan berusia lingkungan 40-an itu selama lima hari sehingga 14 September di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek terlibat dalam tugasan program pemutihan yang bertujuan memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit kerja sah bagi pekerja asing tanpa permit.

Menurutnya, proses berkenaan memerlukan majikan menghantar fail pekerja warga asing untuk semakan pertama oleh bahagian penguat kuasa.

“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan perlu membawa fail kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).

“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing,” katanya.

Beliau menjelaskan, bayaran rasuah tersebut diterima secara tunai serta diagihkan kepada pegawai lain yang menguruskan fail, manakala suspek menerima RM150 bagi setiap seorang warga asing.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh empat tahun bermula 2020, suspek dipercayai mengumpul kira-kira RM900,000 yang digunakan untuk membuka kedai emas selain membeli sebuah kereta mewah.

Hasil serbuan SPRM di kedai barangan kemas di Pahang menemui simpanan emas dianggarkan seberat tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Ringkasan AI

  • Pasangan suami isteri pegawai Jabatan Imigresen Malaysia disyaki gunakan wang rasuah buka kedai emas
  • Dipercayai berperanan dalam mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap
  • Menggunakan nama adik dan anak sebagai proksi untuk buka kedai emas
  • Pasangan itu ditahan reman lima hari untuk siasatan
  • Dalam empat tahun kumpul RM900,000 dari rasuah untuk buka kedai emas dan beli kereta mewah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!