Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga legenda hoki

Balasingam. Foto Sumber Internet
Balasingam. Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga legenda hoki Malaysia, Balasingam Singaram yang meninggal dunia pada 21 Mac.

"Saya telah mendengar mengenai kemahirannya yang luar biasa, minatnya yang mendalam, kerja keras dan disiplin luar biasa bagi sukan yang amat diminatinya. Beliau sememangnya merupakan inspirasi kepada negara yang akan terhutang budi kepada pemain yang berdedikasi ini.

"Negara kita telah kehilangan seorang lagi legenda dan kami berdukacita dengan anda. Namun legasinya akan terus kekal di hati kita. Beliau sememangnya anak jati Malaysia," titah Seri Paduka, menurut Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Balasingam kepada negara sepanjang kariernya.

Balasingam, atau S. Bala meninggal pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser kolon selama beberapa tahun. Mendiang berusia 73 tahun.

Balasingam merupakan antara 16 pemain yang membanggakan negara dalam siri Piala Dunia 1975 apabila menduduki tempat keempat dalam ranking dunia, kedudukan terbaik pernah dicapai Malaysia.

Mendiang meninggalkan isteri, Indra dan anak lelaki, Kumar.-Bernama

Artikel Berkaitan: