Tengku Zafrul masih menteri di MITI - PM

KUALA LUMPUR - Kedudukan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) tidak terjejas walaupun beliau mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana beliau seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik.
Menurutnya, pelaburan negara bernilai ratusan billion banyak dikendalikan atas usaha beliau sebagai Menteri MITI.
"Kita mahu dia teruskan tugas kerana prestasinya sebagai menteri memberi pelaburan baik dan negara memerlukan sumbangan beliau.
"Sekarang, dia memilih untuk memohon (sertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kita belum bincang apa- apa pun, biar dia menunaikan haji.
"Jadi biar dulu dan tak payah banyak tafsiran yang kurang sihat,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.
Pada Sabtu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan semua jawatan dipegangnya dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Tengku Zafrul berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.
Tambah Anwar, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Tengku Zafrul.
"Orang ambil keputusan dan kita hormat keputusan dia, tetapi bagi PKR tentulah kita kena bincang dengan rakan-rakan dan fikir sebaiknya.
"Soal kedudukan menteri tidak terjejas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

