Dunia gagal hentikan genosid Gaza - ABIM

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kegagalan komuniti antarabangsa menghentikan jenayah genosid yang berlarutan selama dua tahun di Gaza dengan menyifatkannya sebagai tragedi paling hitam dalam sejarah kemanusiaan moden.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, serangan Israel bermula 7 Oktober 2023 bukan permulaan penderitaan rakyat Palestin, sebaliknya kesinambungan lebih tujuh dekad penjajahan, penindasan dan dasar apartheid terhadap penduduk asal Palestin sejak tahun 1948.
"Dalam tempoh dua tahun, rejim Zionis telah menjatuhkan lebih 200,000 tan bahan letupan, memusnahkan hampir 90 peratus wilayah Gaza dan membunuh lebih 68,000 rakyat Palestin.
"Ini bukan peperangan, ia adalah pembunuhan beramai-ramai yang disengajakan, satu genosid yang lebih tragis kerana disiarkan dan ditonton oleh seluruh dunia secara langsung.
"Dunia menyaksikan kanak-kanak mati kelaparan, ibu mencari anak di bawah runtuhan dan doktor terpaksa memilih nyawa siapa yang harus diselamatkan dan semuanya di depan mata manusia sejagat yang kononnya bertamadun," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmi mahu Malaysia terus memainkan peranan tegas dan berprinsip di pentas antarabangsa dengan meneruskan usaha diplomasi, undang-undang dan tekanan moral terhadap rejim Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).
Menurutnya, ABIM mengiktiraf pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu Palestin di platform antarabangsa, namun ia perlu digandakan melalui gabungan kuasa masyarakat sivil, ASEAN, OIC dan negara-negara Global Selatan bagi menekan sekatan ekonomi serta mendesak penggantungan segera keanggotaan Israel dalam badan antarabangsa.
"ABIM juga menyeru agar seluruh umat Islam, masyarakat sivil dan generasi muda tidak membiarkan isu Palestin menjadi sekadar topik bermusim.
"Gelombang kesedaran, tekanan kemanusiaan dan solidariti global mesti diteruskan sehingga keadilan ditegakkan dan Palestin kembali merdeka," ujarnya.
Dalam pada itu ABIM turut mendesak agar semua bentuk hubungan perdagangan dan diplomatik dengan rejim Zionis dihentikan serta-merta oleh negara anggota OIC.
"Malaysia wajar menaja usul khas di Perhimpunan Agung PBB bagi menubuhkan tribunal antarabangsa terhadap jenayah perang di Gaza.
"Dunia Islam perlu menyegerakan penubuhan Dana Pemulihan Gaza dan pasukan penyelamat bersama bagi membantu hospital, anak yatim dan pendidikan," katanya.
Ringkasan AI
- ABIM mengecam kegagalan dunia menghentikan genosid di Gaza sebagai tragedi hitam kemanusiaan moden
- Serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 adalah kesinambungan penjajahan terhadap Palestin sejak 1948
- Lebih 200,000 tan bahan letupan diterjunkan, hampir 90% wilayah Gaza musnah, lebih 68,000 rakyat Palestin terbunuh
- ABIM desak Malaysia aktif di pentas antarabangsa bagi tekanan moral terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa
- ABIM mahukan penghentian hubungan perdagangan dan diplomatik dengan Israel oleh negara anggota OIC dan penubuhan dana pemulihan Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

