[VIDEO] GSF: Ribuan rakyat Terengganu sambut kepulangan dua 'wira' ke Gaza

KUALA NERUS – Suasana hiba bercampur gembira menyelubungi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini apabila dua aktivis kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba sekitar jam 2.30 petang, pada Khamis.
Kepulangan Muhammad Abdullah, 32, dan Mohd Asmawi Mukhtar, 52, disambut meriah oleh lebih seribu penyokong, ahli keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkumpul sejak tengah hari sambil mengibarkan bendera Palestin.

Muhammad yang menaiki kapal Fair Lady berkata, walaupun bersyukur kerana selamat pulang, hatinya masih berat memikirkan nasib sembilan peserta misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) yang masih ditahan rejim Zionis.
“Kami mohon rakyat terus berdoa supaya semua rakan kami yang masih di sana dapat kembali dengan selamat. Jangan berhenti berdoa kerana doa adalah senjata terakhir untuk menyelamatkan mereka,” katanya ketika ditemui di LTSM.
Menurutnya, perjuangan membebaskan Palestin tidak akan terhenti dan pihaknya kini sedang berusaha untuk meneruskan misi kemanusiaan seterusnya melalui jalan darat.
“Insya-ALLAH, kalau diberi kekuatan, kami akan cuba masuk ke bumi Gaza melalui Rafah. Pihak Sumud Nusantara juga telah memohon untuk berbincang dengan Perdana Menteri, dan hasilnya kini ada perkembangan positif menerusi Perjanjian Damai yang memberi peluang lebih cerah untuk sampaikan bantuan ke Gaza melalui laluan darat.
“Kita harap kesemua 23 aktivis yang bersama dalam GSF dapat turut serta dalam fasa seterusnya. Insya-ALLAH, kali ini kita akan berpeluang menjejakkan kaki ke Gaza,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Asmawi yang menaiki kapal Estrella menegaskan bahawa semangat perjuangan mereka tidak akan luntur walaupun diuji dengan pelbagai cabaran sepanjang pelayaran.
“Misi ini akan diteruskan sehingga Palestin benar-benar dibebaskan. Sepanjang perjalanan, kami diuji dengan pelbagai cabaran, tetapi saya bersyukur kerana Ustaz Mad (Muhammad Abdullah) menjadi penguat semangat saya.

“Beliau tidak pernah putus berkongsi doa setiap hari. Sebab itulah kami kuat sampai ke penghujung misi ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa penerbangan Emirates EK342 yang membawa 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat daripada kapal pemerhati dan lima peguam, telah mendarat di Terminal 1, KLIA pada jam 10.07 malam, Selasa lalu.
Antara mereka yang terlibat dalam misi tersebut ialah Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Farah Lee dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); Zizi Kirana (kapal Huga); serta beberapa aktivis lain menaiki kapal berbeza termasuk Alma, Sirius, Inana, Mikeno, Estrella, Fair Lady dan Free Willy.
Pada 2 Oktober lalu, kesemua 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF telah ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan Zon Merah Laut Mediterranean sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Mereka kemudian dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, pada Sabtu jam 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pada jam 8.40 malam hari yang sama.
Ringkasan AI
- Dua aktivis kemanusiaan dari misi Global Sumud Flotilla selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud
- Lebih seribu penyokong, ahli keluarga dan NGO menyambut kedatangan mereka sambil mengibarkan bendera Palestin
- Muhammad Abdullah prihatin terhadap nasib sembilan peserta misi yang masih ditahan rejim Zionis
- Perjuangan membebaskan Palestin akan diteruskan melalui jalan darat dengan harapan lebih banyak bantuan dapat disampaikan ke Gaza
- Misi kemanusiaan untuk membebaskan Palestin ditegaskan akan berterusan walau dihadapi pelbagai cabaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
