Malaysia terus perjuang perdagangan adil dan terbuka, perkukuh kerjasama global - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Forum Megatrends Khazanah 2025, pada Isnin. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Forum Megatrends Khazanah 2025, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus memperjuangkan perdagangan terbuka dan adil serta mengukuh kerjasama antarabangsa melalui penglibatan dalam pelbagai platform, termasuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN dan BRICS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan terus menyuarakan pandangan yang membina dan berwibawa bagi mencapai dialog, kesaksamaan dan perkongsian kemakmuran.

Menerusi ucapan khas pada Forum Khazanah Megatrends 2025, di sini, pada Isnin, Anwar berkata, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia akan berakhir dalam masa beberapa minggu sahaja lagi, ketika rantau ini berdepan dengan perubahan dinamik global.

"Dunia berada di era yang mana kuasa bukan sahaja diukur dari segi kekuatan tentera atau saiz pasaran, tetapi juga dari segi kredibiliti, kapasiti, yang boleh dipercayai, yang boleh menawarkan kestabilan apabila pihak lain memilih konfrontasi.

"Malaysia akan terus kekal sebagai rakan yang boleh dipercayai dalam dunia yang tidak menentu seperti itu. Kita mesti terlibat dengan semua pihak tanpa terpengaruh dengan satu-satu pihak, dan menegakkan prinsip tanpa menjadi naif kepada kuasa.

"Kompas kami jelas - kestabilan dengan keadilan, kemajuan dengan simpati dan pertumbuhan dengan maruah.

"Apabila kami melakukan reformasi tadbir urus, kami bukan sahaja memerangi rasuah, kami memulihkan kepercayaan. Dan apabila kami menarik pelabur, kami bukan sahaja mencari modal, kami juga menarik keyakinan terhadap hala tuju moral dan politik Malaysia,” kata beliau.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan ini yang bakal disertai para pemimpin dari 10 anggota blok dan rakan dialog untuk membincangkan keselamatan serantau, kerjasama ekonomi dan isu global yang mendesak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Malaysia akan memperjuangkan perdagangan terbuka dan adil serta mengukuh kerjasama antarabangsa
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Malaysia akan menyuarakan pandangan membina untuk mencapai dialog dan kesaksamaan
  • Malaysia akan berakhir kepengerusian ASEAN dalam beberapa minggu, di tengah perubahan dinamik global
  • Malaysia ingin menjadi rakan yang boleh dipercayai dalam era dunia yang tidak menentu, menegakkan prinsip tanpa terpengaruh oleh satu-satu pihak
  • Sebagai Pengerusi ASEAN untuk 2025, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk membincangkan keselamatan serantau dan kerjasama ekonomi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!