624 hektar sawah tenggelam banjir

Dr Ismail (tengah) melihat keadaan Sungai Padang Kerbau semasa meninjau kawasan Wilayah III Pendang yang terjejas akibat banjir sejak Jumaat lalu.
Dr Ismail (tengah) melihat keadaan Sungai Padang Kerbau semasa meninjau kawasan Wilayah III Pendang yang terjejas akibat banjir sejak Jumaat lalu.
A
A
A

ALOR SETAR – Impian pesawah untuk menuai hasil tanaman padi tidak kesampaian apabila kira-kira 624 hektar sawah di Wilayah III Pendang, dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.

Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kerugian dianggarkan RM4.6 juta, malah menjejaskan sumber pendapatan utama para pesawah yang rata-ratanya sudah bersedia untuk menuai hasil tanaman mereka.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kawasan berkenaan hampir setiap tahun dilanda banjir ekoran limpahan air dari Sungai Padang Kerbau yang menerima aliran hujan dari Kubur Panjang, Nawa dan Sungai Langgar sebelum mengalir ke Sungai Kedah.

“Sebahagian besar tanaman padi rosak sepenuhnya kerana tenggelam, manakala ada kawasan lain yang ditenggelami sehingga separuh ketinggian pokok. Takungan air lambat surut disebabkan struktur Sungai Pendang yang landai,” katanya ketika meninjau sawah di Unit Permatang Limau, PPK Titi Haji Idris di sini pada Isnin.

Menurutnya, dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang yang masih belum siap turut menjadi faktor utama banjir berulang di kawasan berkenaan.

Baharom menunjukkan pokok padi yang telah rosak akibat ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.
Baharom menunjukkan pokok padi yang telah rosak akibat ditenggelami banjir sejak Jumaat lalu.

“Kita percaya apabila kedua-dua projek RTB ini siap kelak, ia mampu mengalirkan sehingga 80 peratus air hujan dari kawasan hulu. Buat masa ini, kita akan lakukan kerja-kerja pendalaman Sungai Pendang untuk menampung lebihan 20 peratus aliran hujan,” jelasnya.

Tambah beliau, purata hujan tahunan di Kedah adalah sekitar 2,000 hingga 2,100 milimeter (mm), dan sehingga Oktober ini, sebanyak 1,400 mm telah direkodkan. Baki hujan yang dijangka turun sehingga hujung tahun ini boleh mencecah 700 mm lagi.

Artikel Berkaitan:

“Jika hujan turun secara seimbang setiap bulan, kita tidak berdepan masalah. Tapi jika hujan lebat berlaku dalam tempoh singkat, risiko banjir akan meningkat seperti yang berlaku tahun lalu,” katanya.

MADA turut memberi jaminan akan membantu proses pembayaran pampasan kepada pesawah yang terjejas bagi meringankan beban mereka yang kini berputih mata akibat kehilangan hasil tuaian.

Dalam pada itu, lebih 200 mangsa turut dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di Pokok Sena dan Kota Setar akibat banjir yang melanda dua daerah berkenaan.

Sementara itu, seorang pesawah Baharom Yaakob, 84, dari Kampung Lubuk Keriang memohon agar kerajaan dapat membantu golongan tersebut yang mengalami kerugian akibat bencana berkenaan.

Menurutnya, tiada apa yang dapat diselamatkan berdasarkan keadaan tanaman padinya yang masih tenggelam di dalam banjir.

Keadaan sama turut disuarakan oleh seorang lagi pesawah, Zulkifli Ismail, 60, dari Tualang apabila mengakui mengalami kerugiaan lebih kurang lebih RM10,000 akibat bencana berkenaan.

Ringkasan AI

  • Impian pesawah untuk menuai hasil tanaman padi tidak kesampaian akibat banjir yang melanda Wilayah III Pendang, MADA
  • Banjir menyebabkan kerugian RM4.6 juta dan menjejaskan sumber pendapatan utama para pesawah
  • Kawasan tersebut hampir setiap tahun dilanda banjir ekoran limpahan air dari Sungai Padang Kerbau
  • Dua projek Rancangan Tebatan Banjir yang belum siap menjadi faktor utama banjir berulang
  • MADA memberi jaminan akan membantu proses pembayaran pampasan kepada pesawah yang terjejas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!