'Hajat nikah Disember ini tidak kesampaian'

KUALA PILAH - Hajat seorang Penolong Pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk mendirikan rumah tangga pada Disember ini tidak kesampaian selepas maut apabila kenderaan dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Kampung Kuala Dioh di sini malam Selasa.
Dalam kejadian jam 10.52 malam itu, mangsa, Muhammad Nawawi Husin, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandunya.
Adik mangsa, Hud Husin, 28, berkata, keluarganya masih terkejut dengan pemergian anak sulung daripada tujuh beradik itu, lebih-lebih lagi arwah abangnya sudah merancang untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.
“Hajat mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati dari Jelebu tak kesampaian. Saya tak pasti bagaimana mereka berkenalan, tapi difahamkan mereka sama-sama bekerja di MAINS.

“Kami dah pergi merisik awal tahun ini dan dua bulan lagi sepatutnya mereka bernikah. Kursus perkahwinan pun dah ambil tiga bulan lalu.
“Dia ada banyak impian. Biasalah manusia, kita merancang, tapi ALLAH SWT lebih mengetahui. Kena reda dengan ketentuan takdir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah pada Rabu.
Hud berkata, kali terakhir beliau bertemu arwah adalah pada pagi hari kejadian dan tidak menyangka itu merupakan pertemuan terakhir mereka.
“Malam kejadian, saya baru nak tidur bila terima panggilan beritahu abang dah tiada. Saya sangat terkejut sebab pagi itu kami sempat bersalaman sebelum dia keluar ke tempat kerja.
“Tak ada sebarang perubahan pun. Semuanya seperti biasa.
“Arwah memang selalu balik lewat sebab dia jenis yang tak suka bertangguh kerja. Kadang-kadang sampai rumah jam 11 atau 12 malam,” katanya.
Beliau menyifatkan arwah sebagai seorang yang pendiam, tidak suka berbicara tentang hal orang lain dan sangat mengambil berat terhadap ahli keluarga.
“Sebelum balik kerja, dia selalu mesej tanya kami sudah makan atau belum. Kalau belum dia nak belikan makanan. Bila teringat benda-benda macam tu, saya jadi sebak.
“Saya rapat dengan arwah, tinggal dengan dia lebih enam tahun. Kalau saya perlukan bantuan, dia orang pertama yang saya cari,” katanya.
Ringkasan AI
- Hajat seorang Penolong Pegawai MAINS untuk berkahwin pada Disember tidak tercapai kerana maut dalam kemalangan
- Muhammad Nawawi Husin meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan
- Arwah merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hati dari Jelebu yang juga bekerja di MAINS
- Keluarga arwah masih terkejut dengan pemergian beliau yang sudah merisik dan mengambil kursus perkahwinan
- Adik arwah mengenang kenangan bersama, menggambarkan beliau sebagai orang yang pendiam dan sangat mengambil berat tentang keluarga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


