'Hasrat bawa keluarga bercuti tidak kesampaian'

KLANG - "Dia nampak ceria lain macam, siap cakap nak bawa keluarga bercuti ke Pulau Pinang, tak sangka itu petanda terakhir sebelum dia pergi selamanya."
Itu cerita Muhammad Muzamil Abdul Jamil, 30, adik kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini pada Isnin.
Mangsa, Muhammad Hafiz Abdul Jamil, 39, yang juga kontraktor sebuah syarikat komunikasi serta penghantar barangan sambilan maut dalam nahas melibatkan kenderaan dinaiki bersama isteri dan tiga anaknya selepas dipercayai pulang daripada urusan penghantaran barangan.
Muzamil berkata, abangnya seorang yang penyayang serta gemar meluangkan masa bersama keluarga, malah sering membawa isteri dan anak-anak ketika bekerja.
"Biasanya kalau dia ada urusan penghantaran, dia memang akan bawa isteri dan anak-anak sekali.
"Dia memang seorang insan yang amat bertanggungjawab dan dekat dengan keluarganya, dia suka ke mana-mana bersama keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, arwah menunjukkan perubahan sikap sebelum kejadian apabila kelihatan lebih ceria dan bersemangat daripada kebiasaan.
"Dia yang saya tahu memang seorang yang amat positif, tak pernah lihat dia bersedih atau sugul, memang sentiasa ceria.

"Tapi kali terakhir bertemu, cerianya itu lain macam, malah dia cakap nak bawa isteri dan anak-anaknya bercuti ke Pulau Pinang, teruja sangat gayanya ketika ceritakan hasratnya itu," katanya.
Jelasnya, Muhammad Hafiz merupakan anak sulung daripada 12 beradik hasil dua perkahwinan ayah mereka.
"Isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa, mereka dikurniakan lima anak berusia antara enam hingga 19 tahun, dua daripada mereka tidak berada dalam kenderaan ketika kejadian kerana sedang bekerja.
"Dia seorang abang yang bertanggungjawab dan mesra dengan adik beradiknya yang lain, kalau kami bertemu ada saja yang dibualnya selain dia juga suka bergurau, kehilangannya amat kami rasai," katanya.
Jenazah Muhammad Hafiz disolatkan di Masjid Johan Setia sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Johan Setia, Klang, petang ini.
Terdahulu, empat beranak terbabit dalam kemalangan Proton Saga FLX yang dipercayai terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22 di sini pada Isnin, masih dirawat di hospital.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seorang wanita berusia 38 tahun berada dalam keadaan koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam selepas menjalani pembedahan limpa.
Beliau berkata, anak perempuannya berusia tujuh tahun turut dirawat di wad hospital sama selepas mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan dan akan menjalani pembedahan pada Rabu.
Mohd Iqbal berkata, seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun mengalami kecederaan patah tulang paha dan kini berada di wad hospital sama.
Jelasnya, seorang bayi perempuan berusia lapan bulan pula dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala dengan tengkorak retak serta masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki maut manakala empat yang lain, termasuk seorang bayi perempuan, parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik.
Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isteri dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke rumah mereka di Klang.
Mohd Iqbal dilaporkan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan.
Mangsa, pemandu kenderaan, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Muhammad Hafiz Abdul Jamil kontraktor komunikasi dan penghantar barangan sambilan meninggal dalam nahas kenderaan bersama keluarga
- Mangsa mempunyai lima anak, dua tidak ada dalam kenderaan semasa kejadian kerana bekerja
- Muhammad Hafiz sering membawa keluarga bersamanya semasa urusan kerja
- Menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih ceria sebelum kejadian, ada sebut tentang bercuti ke Pulau Pinang dengan keluarga
- Isteri dalam keadaan koma dan tiga anaknya dirawat di hospital akibat kecederaan dari kemalangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

