Greta Thunberg antara aktivis flotilla Gaza yang akan dibebaskan hari ini

Aktivis Sweden, Greta Thunberg berada di lokasi tidak diketahui selepas Israel memintas kapal flotilla Global Sumud yang berusaha menuju ke Gaza bagi memecahkan sekatan laut Israel. Foto Reuters
Aktivis Sweden, Greta Thunberg berada di lokasi tidak diketahui selepas Israel memintas kapal flotilla Global Sumud yang berusaha menuju ke Gaza bagi memecahkan sekatan laut Israel. Foto Reuters
A
A
A

ATHENS - Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, akan menjadi antara lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan yang dibenarkan meninggalkan Israel pada Isnin selepas ditahan ketika menaiki flotilla bantuan Gaza yang dipintas tentera negara itu.

Menurut kerajaan masing-masing pada Ahad, kebanyakan mereka yang dibebaskan daripada tahanan Israel akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara asal.

Kumpulan itu termasuk 28 warga Perancis, 27 (warga Greece), 15 (warga Itali) dan sembilan (warga Sweden).

Seramai 21 warga Sepanyol pula telah tiba di negara mereka pada Ahad.

Namun, masih terdapat beberapa warga asing yang kekal ditahan termasuk 28 warga Sepanyol.

Kesemua mereka menaiki 45 kapal flotilla Global Sumud yang membawa aktivis dan ahli politik dengan tujuan melepasi sekatan Israel untuk menghantar bantuan ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan krisis kebuluran sedang berlaku.

Israel mula memintas kapal-kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada Rabu lalu.

Seorang pegawai Israel berkata pada Khamis, lebih 400 individu dihalang daripada sampai ke wilayah Palestin itu.

Kementerian Luar Itali dan Greece mengesahkan warganegara mereka akan diterbangkan dari Israel ke Athens pada Isnin, manakala Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata, 15 rakyat Itali itu akan dibantu untuk transit pulang ke tanah air.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Luar Perancis pula memaklumkan, 28 rakyatnya akan diterbangkan ke Greece, sebahagian besar daripada 30 warga Perancis yang ditahan Israel.

Media Sweden melaporkan sembilan rakyatnya turut dijangka ke Greece meskipun Kementerian Luar Negara itu belum mengesahkan destinasi.

Sebelum ini, kumpulan pertama terdiri daripada 26 warga Itali telah pulang ke negara itu pada Sabtu, tetapi baki 15 lagi terpaksa menunggu proses pengusiran kehakiman selepas enggan menandatangani borang pelepasan sukarela.

Beberapa warga Itali mendakwa mereka menerima layanan yang sangat hina daripada pihak berkuasa Israel.

Wartawan Fanpage, Saverio Tommasi berkata, dia dipukul di bahagian belakang dan kepala ketika dalam tahanan.

“Kami dilayan seperti monyet tua dalam sarkas paling teruk era 1920-an,” katanya yang dipetik agensi berita Ansa.

Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard memberitahu AFP, pegawai kedutaan mereka di Tel Aviv telah dibenarkan melawat sembilan rakyat Sweden berkenaan.

“Lewat Ahad, pihak berkuasa Israel memaklumkan bahawa mereka akan membenarkan rakyat Sweden meninggalkan Israel pada Isnin dengan penerbangan,” katanya.

Seorang warga Sepanyol, Rafael Borrego, yang selamat pulang pada Ahad turut mendakwa tahanan mengalami penderaan fizikal dan mental berulang kali, termasuk dipukul dan dipaksa berbaring di lantai. - Awani

Ringkasan AI

  • Greta Thunberg akan dibebaskan dari Israel bersama lebih 70 individu dari pelbagai kewarganegaraan setelah ditahan ketika menaiki flotilla bantuan Gaza
  • Kebanyakan mereka yang dibebaskan akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara asal
  • Kumpulan ini termasuk warga dari France, Greece, Itali, dan Sweden
  • Flotilla Global Sumud membawa aktivis dan ahli politik untuk melepasi sekatan Israel dan menghantar bantuan ke Gaza
  • Warga Sepanyol dan Itali antara yang menuduh penderaan fizikal dan mental ketika ditahan di Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!