Greta suara kemanusiaan Gaza

Greta Thunberg sertai demonstrasi bantah projek telaga minyak baharu di Bordeaux, Perancis. - AFP
Greta Thunberg sertai demonstrasi bantah projek telaga minyak baharu di Bordeaux, Perancis. - AFP
A
A
A

STOCKHOLM – Nama Greta Thunberg sudah lama sinonim dengan perjuangan alam sekitar, namun tahun ini aktivis muda Sweden itu sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil di atas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Genting Gaza.

Kehadirannya bukan sekadar menyemarakkan semangat aktivis lain, tetapi turut mengangkat mesej bahawa perjuangan kemanusiaan sejagat dan isu perubahan iklim adalah dua perkara yang saling berkait rapat.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu, puluhan kapal GSF yang membawa bantuan kemanusiaan dipintas tentera laut Israel di Laut Mediterranean.

Namun, keberanian Thunberg berdiri di geladak bersama ratusan aktivis lain menjadikan wajahnya terpampang di banyak media antarabangsa.

Thunberg (kanan) berada di atas kapal flotila awam membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan di Pelabuhan Barcelona. - AFP
Thunberg (kanan) berada di atas kapal flotila awam membawa aktivis pro-Palestin dan bantuan kemanusiaan di Pelabuhan Barcelona. - AFP

Baginya, perjalanan ke Gaza bukan sahaja misi bantuan tetapi simbol penentangan terhadap ketidakadilan global yang semakin menjerut masyarakat dunia.

Sorakan aktivis lain yang menyambut kehadirannya membuktikan bahawa seorang anak muda mampu menggerakkan gelombang solidariti tanpa perlu berpangkat besar.

Greta yang kini berusia 22 tahun berasal dari Stockholm dan membesar dalam keluarga seni yang menanamkan jiwa halus serta keberanian untuk bersuara.

Artikel Berkaitan:

Ibunya, Malena Ernman ialah penyanyi opera terkenal Sweden manakala bapanya, Svante Thunberg merupakan pelakon serta penulis skrip.

Sejak usia remaja, Greta sudah terdedah kepada isu-isu global, namun titik tolak perjalanannya bermula pada 2018 ketika beliau mengadakan protes seorang diri di hadapan Parlimen Sweden menuntut tindakan segera menangani perubahan iklim.

Greta Thunberg mengadakan protes luar pejabat wakil PBB di Yerevan. - AFP
Greta Thunberg mengadakan protes luar pejabat wakil PBB di Yerevan. - AFP

Dari seorang pelajar yang duduk dengan papan tanda bertulis “Skolstrejk för klimatet”, namanya melonjak ke pentas dunia hingga digelar suara generasi muda yang lantang menuntut perubahan dasar.

Kehadirannya dalam flotila Gaza menunjukkan peralihan dari aktivisme alam sekitar kepada solidariti kemanusiaan, sekali gus menandakan perkembangan peranan anak muda dalam politik global.

Langkahnya menyertai flotilla dianggap berani kerana risiko yang menanti amat besar, terutama dengan rekod Israel yang sering menyerang kapal bantuan.

Penyertaannya bukan sahaja mengundang perhatian media, malah meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Tel Aviv serta memberi inspirasi kepada jutaan belia lain.

Penganjur flotilla mendedahkan Thunberg tidak pernah meminta layanan istimewa, sebaliknya sanggup tidur di kabin sempit, membantu kerja dapur dan mengangkat kotak bantuan.

Sikapnya itu membuktikan beliau hadir bukan sekadar figura simbolik, tetapi benar-benar komited dengan perjuangan Palestin.

Menariknya, walaupun Greta menghidap autisme yang sering disalah anggap, keadaan itu menjadikan fokusnya lebih tajam terhadap isu yang diperjuangkan.

Pemerhati politik Eropah melihat tindakan Thunberg sebagai cabaran besar kepada kerajaan-kerajaan Barat yang selama ini berhati-hati terhadap Israel.

Sebagai penerima Anugerah Alternatif Nobel, setiap tindak-tanduknya mendapat liputan meluas, sekali gus menekan kerajaan Sweden dan Kesatuan Eropah agar lebih tegas.

Kini imejnya bukan lagi hanya aktivis iklim, tetapi simbol interseksionaliti gerakan global yang menghubungkan iklim, hak asasi manusia dan solidariti antarabangsa.

Sejarah mungkin mencatatkan Greta sebagai bukti bahawa suara anak muda, meskipun kecil, mampu mencabar kuasa besar dengan senjata paling ampuh iaitu prinsip dan keberanian moral. - Agensi

Ringkasan AI

  • Greta Thunberg menarik perhatian dengan kehadirannya dalam kapal Global Sumud Flotilla ke Genting Gaza meningkatkan semangat solidariti kemanusiaan dan isu perubahan iklim
  • Keberaniannya berdiri bersama ratusan aktivis menjadikan wajahnya terpampang di banyak media antarabangsa dan menekankan penentangan terhadap ketidakadilan global
  • Kehadirannya membuktikan seorang anak muda mampu menggerakkan gelombang solidariti tanpa perlu berpangkat besar
  • Penyertaannya dalam flotila Gaza meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Tel Aviv dan memberi inspirasi kepada jutaan belia lain tanpa meminta layanan istimewa
  • Greta kini dilihat sebagai simbol interseksionaliti gerakan global yang menghubungkan isu iklim, hak asasi manusia dan solidariti antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!