Israel layan aktivis GSF secara 'kejam', kata wartawan Itali yang ditahan

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memintas dan menceroboh kapal misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa. - Foto AFP
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memintas dan menceroboh kapal misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa. - Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL -  Wartawan Itali Lorenzo Agostino pada Sabtu berkata beliau merasakan dirinya berada 'di tempat yang benar-benar kejam' ketika ditahan secara tidak sah oleh Israel di perairan antarabangsa selepas serangan ke atas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza minggu ini.

Bercakap kepada Anadolu Ajansi selepas tiba di Istanbul dengan penerbangan khas, Agostino berkata beliau dan penumpang lain telah 'diculik' serta dilayan dalam keadaan yang 'menghina'.

"Kemudian mereka membawa kami ke darat, dan sebaik tiba, mereka berkelakuan seperti kumpulan pengganas.

"Ada antara kami yang ditendang. Kami dibiarkan tanpa air bersih selama lebih dua hari.

"Secara keseluruhan, mereka menggunakan setiap kesempatan untuk menghina kami,” katanya.

Beliau turut menekankan layanan terhadap aktivis iklim Sweden Greta Thunberg yang turut berada di atas flotila sama.

"Greta Thunberg, seorang wanita yang berani, baru berusia 22 tahun.

"Beliau dihina, dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti trofi,” katanya.

"Saya berasa seperti berada di tempat yang benar-benar kejam dan saya amat berharap kekejaman ini akan segera berakhir,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Agostino menyifatkan ketibaan di Pelabuhan Ashdod sebagai penuh permusuhan, dengan kehadiran Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir.

"Ben-Gvir berada di luar tempat ketibaan di Pelabuhan Ashdod ketika kami tiba. Beliau seolah-olah memastikan kami dilayan seperti pengganas kerana beliau menganggap kami pengganas,” katanya.

"Jadi saya bernasib baik kerana dapat keluar sejurus sebelum Ben-Gvir tiba,” tambah Agostino.

Beliau berkata, mereka turut dilayan dengan mata ditutup, digari dengan ketat, pakaian tidak mencukupi serta dibiarkan dalam keadaan suhu sejuk beku di dalam van berhawa dingin selama berjam-jam.

GSF yang dalam pelayaran untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu, menghampiri perairan Gaza pada petang 1 Oktober.

Tentera Israel menyerang flotila berkenaan, merampas secara tidak sah puluhan kapal dan bot serta menahan ratusan penumpangnya. - Bernama 

Ringkasan AI

  • Wartawan Itali Lorenzo Agostino merasakan dirinya berada di tempat yang benar-benar kejam ketika ditahan secara tidak sah oleh Israel
  • Beliau dan penumpang lain diculik serta dilayan dalam keadaan yang menghina
  • Mereka dibiarkan tanpa air bersih selama lebih dua hari dan menggunakan setiap kesempatan untuk menghina para tahanan
  • Greta Thunberg turut dihina, dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti trofi
  • Tentera Israel menyerang flotila Global Sumud Flotilla, merampas secara tidak sah puluhan kapal dan bot serta menahan ratusan penumpangnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!