Jualan Gudang Karangkraf berbaloi untuk keluarga, galak cinta ilmu - Pengunjung

Abdul Fatah bersama keluarganya menunjukkan buku-buku yang dibelinya.
Abdul Fatah bersama keluarganya menunjukkan buku-buku yang dibelinya.
A
A
A

SHAH ALAM – Kemeriahan Jualan Gudang Karangkraf nyata meninggalkan kesan mendalam kepada pencinta buku yang berharap program seumpama itu dapat diadakan lebih kerap bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan keluarga.

Seorang pengunjung, Nur Syahida Abdul Hanip, 39, dari Seksyen 18 di sini berkata, beliau tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan bahan bacaan untuk anak tunggalnya, Muhammad Aafif Herwan, 8, yang sangat gemar membaca.

“Saya ambil peluang beli buku untuk anak sebab dia memang suka membaca. Kalau ada jualan macam ini, memang saya tak lepaskan peluang,” katanya ketika ditemui pada Jualan Gudang Karangkraf 2025 di Kompleks Karangkraf di sini pada Ahad.

Nur Syahida bersama anaknya tidak melepaskan peluang membeli-belah di Jualan Gudang Karangkraf 2025.
Nur Syahida bersama anaknya tidak melepaskan peluang membeli-belah di Jualan Gudang Karangkraf 2025.

Menurutnya, harga buku yang ditawarkan sangat berbaloi dan membolehkan ibu bapa menambah koleksi bahan bacaan anak-anak tanpa perlu berbelanja besar.

“Anak-anak cepat tertarik dengan buku bergambar dan cerita pendek. Kalau boleh, biarlah jualan seperti ini diadakan lebih kerap supaya ibu bapa lain pun boleh manfaatkan peluang sama,” ujarnya.

Nur Syahida juga tidak melepaskan peluang menyertai cabutan bertuah.
Nur Syahida juga tidak melepaskan peluang menyertai cabutan bertuah.

Sementara itu, Abdul Fatah Hambali, 39, dari Kajang, berkata, beliau sanggup berbelanja lebih RM200 untuk membeli buku agama dan buku kanak-kanak buat tiga anaknya.

“Saya tak kisah berbelanja lebih asalkan buku yang dibeli bermanfaat. Ini cara saya galakkan anak-anak membaca dan menambah ilmu,” katanya yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Artikel Berkaitan:

Katanya, jualan seperti itu bukan sahaja membantu menjimatkan kos, malah memberi motivasi kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak supaya mencintai ilmu.

“Kalau boleh, saya harap jualan macam ini diadakan lebih kerap dengan tambahan hadiah percuma bagi setiap pembelian supaya lebih menarik,” ujarnya lagi.

Warga emas, Rio Hirowati Shariffudin, 73, dari Petaling Jaya, turut berkongsi keterujaan apabila berpeluang memborong buku bersama suaminya.

“Saya memang suka membaca, terutamanya novel. Sewaktu bekerja dahulu tidak berkesempatan, jadi bila ada jualan macam ini, memang seronok sebab boleh borong banyak novel dan buku lain untuk dibaca waktu lapang,” katanya.

Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang berlangsung sejak 26 September lalu hingga Ahad menawarkan potongan harga sehingga 80 peratus bagi lebih 1,000 judul buku termasuk al-Quran, novel, buku motivasi dan bahan bacaan kanak-kanak.

Ringkasan AI

  • Kemeriahan Jualan Gudang Karangkraf meninggalkan kesan mendalam kepada pencinta buku
  • Nur Syahida Abdul Hanip membeli buku untuk anak yang gemar membaca
  • Harga buku yang ditawarkan sangat berbaloi dan membolehkan ibu bapa menambah koleksi bahan bacaan anak-anak
  • Abdul Fatah Hambali sanggup berbelanja lebih RM200 untuk buku yang bermanfaat bagi tiga anaknya
  • Jualan Gudang Karangkraf menawarkan potongan harga sehingga 80 peratus bagi lebih 1,000 judul buku

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!