Spa songsang: Polis tunggu arahan Peguam Negara untuk tindakan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan ke atas lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di sebuah spa songsang di Chow Kit di sini pada November lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan mengenai kes itu sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara pada 17 Disember lalu untuk penelitian.
"PDRM telah membuka kertas siasatan membabitkan lelaki warga tempatan daripada jumlah 171 orang yang ditahan dalam serbuan pusat spa di Chow Kit.
“Ia membabitkan siasatan di bawah Seksyen 373 Kanun Keseksaan (kesalahan memperdagangkan orang bagi tujuan pelacuran) dan Seksyen 377B/511 dan 377D Kanun Keseksaan (cubaan melakukan persetubuhan luar tabii atau cubaan melakukan sesuatu kesalahan),” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta beliau menyatakan langkah seterusnya kerajaan terhadap 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa di Chow Kit dan dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan atas alasan kekurangan bukti.
Saifuddin Nasution memaklumkan, kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 269 dan 270 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan cuai yang boleh menyebarkan penyakit berbahaya dan perbuatan berniat jahat yang boleh menyebarkan penyakit berbahaya.
Katanya, kertas siasatan juga dibuka di bawah Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 atas kesalahan memiliki atau mengedar bahan lucah tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Pada 30 November lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, seramai 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan di Chow Kit itu dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka.
Beliau menjelaskan, tanpa pengakuan mangsa, siasatan mengikut Seksyen 377 (bagi kesalahan persetubuhan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan.
“Tiada seorang pun daripada mereka mengaku sebagai mangsa eksploitasi sebab setiap kali (dalam kes) eksploitasi, pelacuran atau luar tabii, mesti ada mangsa. Tiada yang mengaku jadi mangsa, ‘so the case is gone’ (kes tidak dapat diteruskan),” ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia menunggu arahan Peguam Negara untuk tindakan susulan kes serbuan spa di Chow Kit
- Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara pada 17 Disember
- Siasatan membabitkan kesalahan memperdagangkan orang untuk tujuan pelacuran dan cubaan melakukan persetubuhan luar tabii
- Kes juga disiasat untuk perbuatan cuai dan berniat jahat yang boleh menyebarkan penyakit berbahaya serta memiliki bahan lucah
- 171 warga tempatan dibebaskan kerana kekurangan bukti dan tiada pengakuan mangsa eksploitasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
