Sambil beli buku, dapatkan suntikan vaksin tambahan MR

SHAH ALAM – Klinik Kesihatan Seksyen 7 mengharapkan orang ramai dapat mengambil kesempatan mendapatkan suntikan vaksin tambahan measles (demam campak) dan rubella (MR) untuk kanak-kanak ketika berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2025 yang akan melabuhkan tirai pada Ahad.
Ketua Jururawatnya, Radziah Abd Kadir berkata, sebanyak 30 hingga 50 dos disediakan untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun bagi mendapatkan suntikan secara percuma sekali gus melengkapkan Program Imunisasi Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Hari pertama ini, kita menerima pelbagai respons daripada pengunjung sehingga ada yang mahu pulang semula ke rumah untuk membawa cucunya kembali mendapatkan vaksin MR ini.
“Selain itu, kita juga menerima seorang kanak-kanak yang ibunya sendiri membawa buku rekod kesihatan serta membuat janji temu untuk anaknya. Tidak kurang juga ada yang takut-takut untuk mendapatkan suntikan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, pihaknya turut mengedar risalah kepada pengunjung berhubung tujuan aktiviti imunisasi tambahan MR yang dijalankan kerajaan bermula 4 Ogos hingga 12 Oktober ini di seluruh negara.
“Suntikan imunisasi ini akan membendung penularan measles dan mengukuhkan tahap imunisasi kanak-kanak bawah usia lima tahun.
“Jadi, pengunjung yang membawa anak-anak untuk mendapatkan suntikan vaksin tambahan, kita akan rekodkan dalam jadual imunisasi mereka serta dalam aplikasi MySejahtera selain memberi sedikit penerangan terhadap tujuan vaksin ini,” katanya.
Measles dan rubella merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan telinga, radang paru-paru (pneumonia), radang otak (ensefalitis), sawan serta kematian.
Pemberian suntikan vaksin tambahan measles dan rubella itu berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang bertempat di Bilik Ikhlas, Kompleks Karangkraf di sini.
Jualan Gudang Karangkraf 2025 berlangsung selama 10 hari bermula 26 September hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 7 malam, menyediakan lebih 1,000 bahan bacaan termasuk al-Quran dengan potongan harga sehingga 80 peratus.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan buat pengunjung khususnya golongan kanak-kanak, antaranya pertandingan mewarna dan teka silang kata bergambar.
Selain itu, pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM2,500 dengan pembelian minimum RM80 produk Karangkraf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
