Mangsa keganasan rumah tangga antara penerima baki RM150 juta SARA

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM150 juta baki peruntukan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 secara sekali bayar yang tidak dibelanjakan atau dituntut sehingga 31 Disember lalu akan diagihkan kepada golongan rentan termasuk mangsa keganasan rumah tangga.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penghuni pusat perlindungan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khususnya mangsa keganasan rumah tangga menjadi salah satu daripada empat golongan yang akan menerima agihan itu.

"Kedua, kita akan agihkan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Ketiga, bagi pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan keempat, untuk penubuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di sidang Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha binti Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.

Beliau menegaskan, pengagihan semula dana itu bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam malah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

Menurutnya, tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin memperlihatkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.

Kata Amir Hamzah, langkah tersebut juga membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa.

"Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi lanjut, Amir Hamzah berkata, bagi penghargaan SARA sekali bayar tahun lalu, lebih 21 juta rakyat Malaysia telah membuat perbelanjaan iaitu 96 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM2.05 bilion.

Pada Isnin ini pula, ujarnya, SARA Untuk Semua iaitu bantuan sekali bayar RM100 melalui MyKad akan bermula.

“Peruntukan RM2.2 bilion disediakan untuk manfaat semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Tiada permohonan diperlukan dan ia akan dikreditkan secara automatik ke MyKad masing-masing serta sah digunakan sehingga 31 Disember 2026. Semakan kelayakan boleh mulai dibuat hari ini dengan melayari portal sara.gov.my,” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah memaklumkan, Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu yang boleh ditebus menggunakan SARA.

"Kita melakukan penambahbaikan berterusan yang dibuat melalui kategori barangan yang ditambah kepada 14 pada 2025 berbanding 10 dalam tahun 2024.

"Bagi barangan basah pula, kerajaan masih menjalankan kajian lanjut untuk memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan jaminan kepada pengguna dapat dipelihara sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan," jelasnya.

Ringkasan AI

  • RM150 juta baki peruntukan SARA 2025 diagihkan kepada golongan rentan termasuk mangsa keganasan rumah tangga
  • Agihan juga merangkumi pelajar OKU dan berkeperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin dan penubuhan bank masakan dapur siswa
  • Tumpuan kepada kumpulan rentan menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap keadilan sosial dan kemanusiaan
  • Agihan semula dana meningkatkan transparansi, kecekapan pengurusan kewangan dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial
  • Lebih 21 juta rakyat Malaysia manfaat dari penghargaan SARA sekali bayar tahun lalu dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!