[VIDEO] Dukung bayi redah air banjir 500 meter ke PPS

A
A
A

PONTIAN – “Air naik terlalu cepat dan saya bersama suami terpaksa meredah air sejauh 500 meter sambil mendukung bayi berusia lima bulan ke tempat selamat sebelum ke pusat pemindahan sementara (PPS),"

Demikian luah Noratikah Hairolnizam, 24, apabila kediamannya di Kampung Seri Menanti dinaiki air kira-kira satu meter, seawal jam 6 pagi Sabtu.

Noratikah yang bekerja sebagai penghantar barang, mengakui berasa cemas dan bimbang dengan keselamatan anaknya, Arif Hakimi apatah lagi, ini kali pertama dia dan suami berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

Keadaan banjir di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas.
Keadaan banjir di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas.

Katanya, banjir berlaku secara mengejut selepas hujan lebat dan guruh kuat sebelah malam menyebabkan air sungai berhampiran melimpah.

“Rumah kami kira-kira 500 meter dari sungai. Air melimpah dari sungai menyebabkan rumah kami seperti 'pulau'.

"Suami, Putera Mohd Amirul Haikal, 25, terpaksa meminta pertolongan dari rakan untuk bawa kami keluar ke PPS. Saya dukung bayi redah banjir ke tempat selamat sebelum naik kereta rakan suami ke PPS," ujarnya.

Noratikah berkata, dia dan suami yang bekerja sebagai mekanik baru berpindah ke Kampung Seri Menanti.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ibunya, Noraini Abdul Aziz, 47, berkata, ini merupakan kali ketiga banjir berlaku tahun ini selepas insiden pada Januari dan Mac.

"Sudah tiga kali pindah ke PPS tahun ini. Kali ini rasa amat bimbang sebab ada cucu yang masih bayi ikut pindah ke PPS pada awal pagi.

"Tahun lepas berlaku banjir pada awal dan akhir tahun tetapi tidak teruk. Tahun ini keadaan banjir agak teruk.

PPS SK Melayu Raya kini menempatkan mangsa banjir dari beberapa kampung di Pekan Nanas.
PPS SK Melayu Raya kini menempatkan mangsa banjir dari beberapa kampung di Pekan Nanas.

"Disebabkan sudah berdepan banjir sebelum ini, kami sudah buat persiapan awal dengan letakkan barang elektrik di tempat yang tinggi," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, cadangan meluaskan sistem perparitan di Kampung Maju Jaya akan dibawa ke Parlimen dengan kos dianggarkan sebanyak RM5 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan itu.

Difahamkan, parit sedia ada terlalu kecil dan menjadi antara punca limpahan air apabila hujan lebat, selain tanah tersebut merupakan milik individu.

Menurutnya, kejadian benteng pecah di Sungai Tanjung Air Hitam difahamkan menjadi punca air dari kawasan Gunung Pulai melimpah ke beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Seri Gambut.

Setakat jam 12 tengah hari pada Sabtu, seramai 150 penduduk daripada 43 keluarga terjejas akibat banjir kilat dan kini berlindung di PPS SK Melayu Raya.

 

 

Ringkasan AI

  • Noratikah Hairolnizam dan suami meredah banjir sejauh 500 meter dengan mendukung bayi ke tempat selamat
  • Air naik secara mendadak akibat hujan lebat menyebabkan rumahnya dinaiki air kira-kira satu meter
  • Ini adalah kali pertama Noratikah dan keluarganya pindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya
  • Ini merupakan kali ketiga banjir melanda mereka tahun ini, dengan insiden sebelumnya berlaku pada Januari dan Mac
  • Cadangan meluaskan sistem perparitan di Kampung Maju Jaya akan dibawa ke Parlimen dengan anggaran kos RM5 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!