Banjir tiga negeri: Lebih 300 mangsa masih berlindung di PPS, Kedah catat peningkatan

Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena, Kedah meningkat pagi ini kepada 100 orang daripada 30 keluarga berbanding 86 orang daripada 25 keluarga, malam tadi. Gambar hiasan
Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena, Kedah meningkat pagi ini kepada 100 orang daripada 30 keluarga berbanding 86 orang daripada 25 keluarga, malam tadi. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Kedah menunjukkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini, sementara di Perak dan Johor tidak berubah dengan keseluruhan lebih 300 penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di KEDAH, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena meningkat pagi ini kepada 100 orang daripada 30 keluarga berbanding 86 orang daripada 25 keluarga, malam tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, peningkatan itu susulan penambahan mangsa daripada Mukim Lesong melibatkan Kampung Permatang Limau.

Ketika ini hanya dua sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling dan Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) kekal 107 orang daripada 33 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Taiping setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang menempatkan 22 penduduk daripada lapan keluarga melibatkan kawasan Taman Mawar, Taman Simpang Makmur, Taman Indah, Taman Kota Jaya serta Kampung Jalapang Jaya.

Sebanyak 38 mangsa daripada 11 keluarga pula kekal berlindung di PPS SK Matang membabitkan Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang, manakala PPS SK Matang Gelugor menempatkan 47 mangsa daripada 14 keluarga melibatkan Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan ribut di LMS, Kerian, Perak Tengah, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang pada sebelah petang hari ini.

Di JOHOR pula, jumlah mangsa banjir kilat di Pontian yang ditempatkan di sebuah PPS masih kekal 159 orang daripada 46 keluarga setakat 8 pagi ini.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya yang dibuka 6 pagi semalam menempatkan penduduk daripada lima kampung.

Beliau berkata, ia melibatkan Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.

Sementara itu keadaan cuaca di daerah berkenaan cerah pagi ini. - Bernama

Ringkasan AI

  • Situasi banjir di Kedah meningkat dengan jumlah mangsa di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena naik kepada 100 orang
  • Peningkatan mangsa banjir di Kedah adalah dari Mukim Lesong, melibatkan Kampung Permatang Limau
  • Di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 107 orang di tiga PPS di Taiping
  • Jumlah mangsa banjir kilat di Pontian, Johor, kekal 159 orang di PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya
  • Cuaca di daerah terlibat cerah pada pagi hari berkenaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!