Projek sakit 14 tahun: Kedah mohon percepatkan RTB Sungai Anak Bukit

ALOR SETAR - Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Anak Bukit yang berlarutan sejak 14 tahun lalu perlu disiapkan segera bagi mengelakkan penduduk terus berdepan kerugian besar setiap kali banjir melanda.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri berharap ‘projek sakit’ berkenaan diberikan keutamaan untuk disiapkan berikutan sudah terlalu lama.
Menurutnya, kerajaan negeri bersedia membantu mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut sekiranya terdapat kekangan di peringkat Persekutuan.
“Projek RTB ini sudah terlalu lama, bila banjir berulang setiap tahun kita juga yang rugi.
“Saya mohon projek itu dipercepatkan, kerajaan negeri sedia bantu apa yang boleh. Kalau ada proses yang sangkut di pihak Persekutuan, kita akan cuba bantu usahakan supaya dipermudahkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut beliau, projek berkenaan pernah berdepan isu pengambilan tanah yang dibawa ke mahkamah selain pertukaran kontraktor selepas syarikat asal gagal menyiapkannya.
“Sekarang kontraktor penyelamat ambil alih, projek masih berjalan tetapi sangkut-sangkut. Saya tak pasti berapa lama lagi projek ini sepatutnya berjalan, mungkin lama lah,” ujarnya.
Sanusi memaklumkan, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit pakej dua di Titi Kuala Sungai, pada Selasa, bagi meninjau perkembangan projek khususnya dari aspek keselamatan dan risiko banjir yang menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar.
“Projek tebatan banjir itu turut melibatkan pembinaan beberapa jambatan baru, disebabkan jambatan belum siap, dibina laluan sementara, iaitu titi besi.

“Apabila kereta melalui titi besi itu menyebabkan turapan tar antara penyambung jalan dengan titi cepat rosak, kereta terpaksa bergerak perlahan. Kontraktor sudah baiki enam bulan lepas tetapi disebabkan ia struktur sementara jadi cepatlah rosak,” ujarnya.
Berikutan itu, katanya, kontraktor telah memberi jaminan akan melakukan penyelenggaraan berkala di laluan sementara itu bagi memastikan perjalanan lancar terutama pada waktu puncak.
“Projek RTB Sungai Anak Bukit merupakan sebahagian usaha mengelakkan limpahan air dari Terusan MADA masuk ke Sungai Kedah, sekali gus memerlukan pembinaan jambatan baharu di kawasan terbabit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, terdapat beberapa lagi ‘projek sakit’ di Kedah yang perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ada banyak juga projek Persekutuan yang jadi projek sakit atau terbengkalai antaranya sekolah dan klinik, bukan hanya RTB Sungai Anak Bukit. Cuma kita tak mahu bising-bising.
“Saya tak mahu cakap sangat pasal projek sakit sebab ada yang ungkit LRA (Sungai Limau) pun projek sakit, tapi ada satu saja. Kerajaan Persekutuan ada berpuluh-puluh projek sakit tapi saya tak mahu cakap lebih-lebih, sebab saya tak mahu jadi macam mereka (pemimpin Persekutuan).
“Benda-benda macam itu tak sesuai sebar merata bagi orang tahu benda buruk, cuma kita usahalah bagi cepat,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak mendedahkan RTB Sungai Anak Bukit yang dimulakan sejak 2011 masih gagal disiapkan sehingga kini, sekali gus menimbulkan keresahan penduduk yang saban tahun berdepan kerugian besar akibat banjir berulang.
Projek RTB berkenaan dijadualkan siap pada Oktober selepas beberapa kali janji penyelesaian ditangguhkan oleh kontraktor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pada 10 September, Sinar Harian melaporkan penduduk Mukim Sungai Baru melibatkan empat buah kampung, iaitu Kampung Sungai Baru Tok Keramat, Kampung Sungai Baru Tengah, Kampung Sungai Baru Hilir dan Kampung Sungai Baru Kuala Sungai mahu penyelesaian segera terhadap masalah banjir kerana sudah ‘letih’ menghadapinya saban tahun.
Penduduk resah setiap kali tibanya musim hujan berterusan, khususnya bermula Oktober dan berlanjutan sehingga musim tengkujuh.
Masalah banjir di kawasan tersebut dikatakan sudah berlarutan puluhan tahun, antara situasi paling buruk adalah ketika banjir besar 2010 dan kembali berulang tahun lepas membabitkan lebih 600 buah rumah penduduk.
Ringkasan AI
- Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Anak Bukit perlu disiapkan segera untuk mengelak kerugian penduduk akibat banjir
- Projek tersebut sudah berlarutan selama 14 tahun dan menjadi prioriti kerajaan negeri
- Kerajaan negeri bersedia membantu Persekutuan untuk mempercepat pelaksanaan projek
- Projek menghadapi masalah termasuk isu pengambilan tanah dan pertukaran kontraktor
- Berbagai infrastruktur termasuk jambatan baru dibina sebagai sebahagian dari projek tebatan banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

