Kerani tak mengaku amang seksual fizikal anak tiri

Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Jumaat.
Tertuduh diiringi polis di mahkamah pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kerani di sebuah syarikat logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang juga merupakan kanak-kanak autistik, dua tahun lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Madihah Zainol setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak hasil dua perkahwinan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika kanak-kanak perempuan berkenaan berusia sembilan tahun.

Tertuduh juga didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa tiri kepada mangsa itu telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Parit Patah, Pontian, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 19 Jun 2023.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Αkta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, serta sebagai tambahan hukuman mengikut Seksyen 16(1), tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan hendaklah disebat sehingga dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli pada mulanya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin apatah lagi tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa yang memungkinkan tertuduh mengganggu saksi pendakwaan terutamanya mangsa sendiri.

Bagaimanapun, peguam K Veeranesh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan diberikan dan membantah alasan pendakwaan bahawa tertuduh akan mengganggu saksi dan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara bagi membenarkan tertuduh diikat jamin.

Zuhainie turut mencadangkan empat syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di balai polis terdekat, tidak mengganggu saksi dan jika ingin berjumpa anaknya yang di bawah jagaan isteri, perjumpaan hanya boleh dilakukan di balai polis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta empat syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 November depan serta serahan dokumen.

Ringkasan AI

  • Seorang kerani syarikat logistik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang autistik
  • Lelaki tersebut berusia 45 tahun dan merupakan bapa kepada empat anak hasil dari dua perkahwinan
  • Perbuatan tersebut didakwa berlaku di Kampung Parit Patah, Pontian pada 19 Jun 2023
  • Tertuduh berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan boleh dikenakan sebat
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan bagi tertuduh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!