Suami isteri mengaku tidak bersalah tipu projek ayam kampung, kambing baka bernilai RM52.8 juta

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dikenakan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dikenakan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas 75 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin membabitkan kes penipuan bernilai RM52.8 juta yang berlaku pada tahun 2016 hingga 2024.

Tertuduh, Mohammad Riza Ahmad Hambadley, 57, dan Wan Ziraiza Wan Ismail, 55, memohon dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Bagi kesalahan di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, Mohamad Riza berdepan 58 pertuduhan manakala Wan Ziraiza dituduh atas tiga pertuduhan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Bagi Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan Kewangan 2013 kedua-dua tertuduh yang merupakan Pengarah Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak masing-masing didakwa atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak telah menerima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 melalui satu skim yang melibatkan pembayaran di dalam Program Ayam Kampung Pertubuhan Amal Kita Kinta dan Program Induk Kambing Baka Shami Pertubuhan Amal Kita Kinta.

Perbuatan itu dilakukan di antara 16 Ogos 2017 sehingga 15 Julai 2023 di No. 11A, Lorong Dewangsa 2, 31000, Batu Gajah di dalam Daerah Kinta.

Tertuduh boleh dikenakan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.

Sementara itu bagi kesalahan di bawah Seksyen 3(2)(b) Akta Skim Kepentingan 2016, Mohammad Riza dikenakan lima pertuduhan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta manakala Wan Ziraiza didakwa atas lima pertuduhan bersubahat dengan suaminya di antara 3 Mac 2017 hingga 7 Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Steve Chin Yun Cheong; Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Fazarul Ezhar Mohd Mokhtar dan Nurul Nabila Azmi serta Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia, Muhamad Atif Abdullah dan Harvind Raja Gopal.

Tertuduh diwakili peguam, Datuk Yaacob Md Sam dan Md Yunos Shariff.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan antara 1 hingga 5 haribulan.

Tarikh 4 November depan ditetapkan sebagai sebutan semula.

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri di Ipoh mengaku tidak bersalah atas 75 pertuduhan penipuan bernilai RM52.8 juta
  • Mohammad Riza Ahmad Hambadley dan Wan Ziraiza Wan Ismail dituduh melakukan kesalahan penggubahan wang haram dan aktiviti tanpa lesen sah
  • Mohammad Riza berdepan 58 pertuduhan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram, Wan Ziraiza atas tiga pertuduhan dan kedua-duanya juga didakwa atas dua pertuduhan lain
  • Hukuman bagi kesalahan yang didakwa boleh mencapai penjara tidak lebih 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti atau RM5 juta yang mana lebih tinggi
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dan tarikh sebutan semula adalah 4 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!