Lebih 60 premis jual vape masih aktif di Perak - Exco

Sandrea melihat perincian Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) ketika hadir ke Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh pada Jumaat.
Sandrea melihat perincian Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) ketika hadir ke Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Lebih 60 premis penjualan vape di seluruh Perak masih beroperasi dengan lesen sah yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng.

Beliau berkata, semua lesen berkenaan tidak lagi akan diperbaharui selepas tarikh tamat tempoh bermula 1 Januari depan, selaras dengan dasar kerajaan negeri yang melarang penjualan produk itu.

“Sekarang keputusan dasar kerajaan ialah tidak menerima atau memperbaharui lesen jualan vape mulai 1 Januari.

“Bagi lesen yang tamat sebelum tarikh itu, ia tidak akan diperbaharui. Bagi yang tamat selepas 1 Januari, peniaga boleh terus beroperasi sehingga tempoh lesen berakhir, tetapi tidak akan diperbaharui," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan) di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh di sini pada Jumaat.

Menurut Sandrea, selepas tarikh itu, premis yang masih menjalankan penjualan vape tanpa lesen sah akan berdepan tindakan penguatkuasaan oleh PBT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri.

"Kita beri sedikit masa kepada mereka menguruskan kedai dan menukar kepada perniagaan lain.

"Itulah sebabnya kita menetapkan tarikh pelaksanaan pada 1 Januari supaya ada ruang untuk penyesuaian,” katanya.

Pada Rabu, Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik atau Vape berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Artikel Berkaitan:

Kelulusan polisi itu menjadikan Perak negeri ketujuh melaksanakan larangan lesen vape selepas Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, berdasarkan keperluan Akta 172 yang diperincikan di dalam Kaedah-Kaedah Rancangan Tempatan (Negeri Perak) 2024 yang diwartakan pada 6 Jun 2024, terdapat empat peringkat utama bagi sesuatu penyediaan Rancangan Tempatan (RT) pengubahan.

Jelasnya, kertas kerja tersebut merupakan peringkat pertama daripada keseluruhan proses pengubahan dan selepas ini pihak majlis perlu melalui peringkat penyediaan draf RT Pengubahan serta peringkat pemeriksaan, siasatan dan pendengaran.

"Manakala peringkat keempat atau terakhir adalah proses keputusan dan warta.

"Cadangan pengubahan ini merupakan yang pertama bagi RT ini melibatkan 52 pengubahan zon guna tanah, pengubahan ketinggian bangunan dan pengubahan jadual kelas kegunaan tanah dan bangunan," katanya.

Ringkasan AI

  • Lebih 60 premis penjualan vape di Perak masih beroperasi dengan lesen sah
  • Lesen tidak akan diperbaharui selepas tarikh tamat bermula 1 Januari depan
  • Premis tanpa lesen sah selepas tarikh itu akan berdepan tindakan penguatkuasaan
  • Kerajaan Negeri Perak meluluskan Polisi Larangan Lesen Penjualan Vape mulai 1 Januari 2026
  • Perak menjadi negeri ketujuh melaksanakan larangan lesen vape selepas Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!