NASA temui tanda planet Zuhrah masih aktif secara geologi

NASA mengesahkan planet Zuhrah masih aktif secara geologi dengan bukti bahan panas dari dalam planet.
NASA mengesahkan planet Zuhrah masih aktif secara geologi dengan bukti bahan panas dari dalam planet.
A
A
A

SHAH ALAM - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menemukan tanda-tanda bahawa planet Zuhrah (Venus) masih aktif secara geologi.

Selama ini, Zuhrah sering dianggap sebagai planet mati dan tidak aktif.

Hal ini demikian kerana tiada bukti kukuh mengenai dinamika dalaman planet tersebut. Namun, penemuan terbaharu membuka perspektif baharu dalam kajian terhadap planet itu.

Memetik laporan laman SciTechDaily pada Rabu (28 Mei 2025), hasil penyelidikan tersebut telah diterbitkan oleh jurnal Science Advances pada 14 Mei 2025.

Para saintis menyatakan bahawa permukaan Zuhrah ternyata masih dibentuk oleh aktiviti geologi dari dalam planet itu sendiri.

Mereka menemui bukti kewujudan bahan panas yang naik dari bahagian dalam Zuhrah, satu petunjuk kukuh bahawa proses geologi masih berlaku.

Penemuan ini mengukuhkan andaian bahawa Zuhrah mempunyai dinamika dalaman yang lebih kompleks dan aktif.

Malah, proses ini menyerupai Bumi dalam beberapa aspek, walaupun Zuhrah tidak mempunyai sistem tektonik plat seperti di Bumi.

Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada puluhan struktur berbentuk cincin besar di permukaan Zuhrah yang dikenali sebagai coronae.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, Zuhrah diketahui mempunyai ratusan coronae dan sebahagian besarnya terletak di kawasan dengan kerak yang nipis dan panas.

Penemuan ini menjadi asas penting bagi misi-misi penerokaan Zuhrah pada masa hadapan.

NASA kini sedang mempersiapkan dua misi besar, iaitu VERITAS (Venus Emissivity, Radio Science, InSAR, Topography, and Spectroscopy) yang akan memetakan permukaan Zuhrah dengan resolusi dua hingga empat kali lebih tinggi berbanding misi sebelumnya.

Sementara itu, misi DAVINCI (Deep Atmosphere Venus Investigation of Noble gases, Chemistry, and Imaging) dijadual dilancarkan pada tahun 2029 untuk menyiasat komposisi atmosfera dan kimia permukaan Zuhrah dengan lebih mendalam.

Selain NASA, Agensi Angkasa Eropah (ESA) juga merancang misi EnVision pada awal dekad 2030.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!