Duduk sahaja di rumah

A
A
A

JUST stay at home, duduk sahaja di rumah. Ungkapan ini kelihatan mudah difahami, namun ramai lagi yang tidak mematuhi dan degil dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal merebaknya koronavirus (Covid-19).

Masih ramai yang berpeleseran dan melepak, minum di restoran seolah-olah tidak peka dengan wabak yang meragut nyawa sepuluh individu di Malaysia setakat ini.

Selama tempoh dua minggu ini, rakyat hanya perlu berada di rumah. Luangkan masa bersama keluarga tersayang dan melakukan tugasan pejabat dari rumah.

Atau melakukan apa yang patut dilakukan di rumah kerana kerja tertangguh dan kesuntukan masa. Bukannya menggunakan tempoh ini untuk kita bergerak, bersiar-siar, melepak, balik kampung atau melancong.

Pergerakan secara berleluasa di stesen pengangkutan awam sebenarnya boleh menyebabkan Covid-19 semakin merebak.

Ada kemungkinan apabila seseorang balik ke kampung, beliau akan menyebarluaskan penyakit ini yang beliau sendiri tidak sedari.

Ini kerana di mana-mana dan di dalam apa keadaan sekali pun, wabak Covid-19 boleh menular.

Perintah Kawalan Pergerakan bukanlah dibuat sesuka hati. Ia perlu dilakukan bagi memutuskan rantaian jangkitan daripada terus menular.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi peningkatan kes jangkitan baharu dari masa ke masa dan kematian akibat Covid-19 amat membimbangkan.

Langkah-langkah tegas perlu diambil untuk membendung wabak daripada terus merebak. Tujuannya ialah supaya kita tidak perlu bergerak ke sana sini.

Tidak perlu bersesak-sesak dalam pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan.

Pelajar tidak perlu lagi pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19.

Sebenarnya, kita tidak perlu keluar ke mana-mana, duduklah dan berehat-rehatlah di rumah jika tidak terdesak atau kerana menjalankan tugas.

Tujuan tempoh ‘bertenang’ bukan untuk membolehkan kita balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli-belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Bukan. Tujuannya ialah duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family.

Tempoh

Sebenarnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu ini adalah kerana Covid-19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu.

Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu.

Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas daripada Covid-19.

Namun jika dalam tempoh itu kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga daripada terdedah kepada Covid-19 dengan berada di rumah.

Sebenarnya pengukuran kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan banyak bergantung kepada kerjasama dan komitmen masyarakat dan pihak berkuasa.

Hakikatnya, virus ini berjangkit daripada manusia ke manusia menerusi sentuhan. Andainya seseorang individu bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.

Selain mengelakkan bersentuhan dengan cara menjarakkan diri kita daripada orang lain, kita perlu juga sentiasa bersihkan diri. Basuh tangan dengan menggunakan sabun atau hand sanitizer supaya badan sentiasa bersih.

Langkah kawalan juga dilakukan dengan tidak membenarkan amalan makan di kedai untuk mengelakkan risiko jangkitan.

Apa yang perlu dilakukan masa kini adalah dengan memesan makanan, bungkus dan bawa balik ke rumah.

Mungkin juga boleh menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah atau home food delivery service.

Prinsip Perintah Kawalan Pergerakan mudah sahaja. Peranan masyarakat dalam tempoh dua minggu ini hanyalah duduk di rumah dan jangan ke mana-mana. Stay at home.

Sebenarnya inilah perkara penting yang semua pihak mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)