Salahkah duduk PPR tapi guna barang mewah?

Kehidupan Syamimia tampak serba mewah mengundang pendebatan netizen yang mempersoalkan taraf hidupnya tidak sesuai untuk duduk di rumah PPR.
Kehidupan Syamimia tampak serba mewah mengundang pendebatan netizen yang mempersoalkan taraf hidupnya tidak sesuai untuk duduk di rumah PPR.
A
A
A

“SALAHKAH duduk rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) tetapi ubah suai jadi cantik dan guna peralatan berjenama?”

Persoalan itu berlegar-legar di fikiran penulis tatkala tular kisah seorang TikToker dikenali sebagai Syamimia yang dikecam segelintir netizen gara-gara menetap di rumah flat namun memiliki hiasan seperti perabot dan barangan elektrik jenama mewah.

Kehidupan Syamimia tampak serba mewah di rumah tersebut mengundang pendebatan netizen yang mempersoalkan taraf hidupnya tidak sesuai untuk duduk di rumah PPR. Bagaimanapun, Syamimia akhirnya tampil ‘membuka mulut’.

Katanya, rumah itu merupakan peninggalan arwah ibunya sebelum meninggal dunia. Dia turut menceritakan bahawa rumah berkenaan mempunyai tunggakan yang banyak.

Pada perkongsian yang sama, Syamimia turut meluahkan rasa syukur kerana berjaya melunaskan baki tertunggak dan berniat untuk menghadiahkan rumah itu kepada adik kesayangannya.

Walaupun segelintir mengecam, ada sebahagian pula yang berada di pihak Syamimia dengan mengatakan kerajaan beri PPR kepada orang miskin bukan dengan harapan supaya mereka kekal duduk dalam kemiskinan hingga ke hujung nyawa.

Kisah Syamimia sebenarnya tidak jauh beza dengan cerita keluarga penulis. Namun kisah kami tidaklah tular kerana tiada seorang pun daripada kami adalah pempengaruh.

Ibu penulis yang merupakan ibu tunggal kerana kematian suami membeli sebuah unit pangsapuri kos rendah berharga RM25,000 pada tahun 1999.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan hidup serba kekurangan dan ibu penulis hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM450, kami tidak mampu membeli banyak peralatan rumah sama ada perabot mahupun barangan elektrik. Yang mampu dibeli ketika itu hanyalah keperluan utama iaitu peti sejuk, dapur memasak dan periuk nasi elektrik. Itupun dibeli menggunakan kaedah bayaran ansuran.

Sumber kewangan yang terhad membataskan ibu penulis untuk membeli televisyen, radio, mesin basuh apatah lagi barangan berjenama dan mewah walaupun jauh di sudut hati adik-beradik penulis ketika itu inginkan pelbagai peralatan untuk memudahkan urusan seharian.

Hasrat kami terbantut kerana yang lebih menjadi keutamaan ibu pada waktu itu ialah makanan keperluan dan juga perbelanjaan untuk kami adik-beradik ke sekolah.

Bagaimanapun, dalam hati kami tidak sedikit pun pernah terpadam impian untuk mencantikkan rumah apabila ada kemampuan satu hari nanti. Ini selepas kami melihat salah satu unit di blok pangsapuri bersebelahan diubah suai dengan begitu cantik dan kami selalu curi-curi melihatnya dari luar tingkap.

Mengapa kami curi-curi melihatnya adalah kerana pemilik sering kali menutup pintu apabila ada orang lalu-lalang di depan rumahnya.

Apa yang kami dapat lihat adalah mozek lantainya berkilat, lampunya gantungnya berhiaskan kristal dan perabotnya sungguh sepadan sekali meski saiz rumah tidak sampai 600 kaki persegi.

Impian mengubah rumah keluarga kami itu akhirnya terlaksana apabila adik penulis yang kini bergelar seorang kontraktor dapat mengubah suai rumah ibu kami. Sesiapa sahaja yang masuk ke rumah ibu kami itu pasti akan teruja dengan perubahan yang berlaku seolah-olah berada di dalam hotel atau kondominium mewah.

Bagi penulis tidak salah sekiranya pemilik PPR mencantikkan kediaman mereka apabila ada kemampuan asalkan tidak menyalahi peraturan serta undang-undang pihak berkuasa.

Kena sentiasa beringat walaupun tidak memiliki peralatan atau perabot jenama, seharusnya rumah perlu dijaga dengan baik supaya boleh mengubah mentaliti orang ramai terhadap penduduk PPR.

Apabila rumah bersih, kemas dan rapi, meski ruangnya sempit namun kita akan dapat merasai ketenangan ketika berada di dalamnya. Apa pun bagi penulis, alangkah bagusnya jika mereka yang menjadi pemilik PPR ini mempunyai mentaliti yang sama iaitu mahu keluar dari golongan B40 menuju kepada T20 atau sekurang-kurangnya berada di golongan M40.

*Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Unit Editor Pengisian