Integrasi AI dalam rehabilitasi, rancakkan produktiviti global

Dari kanan: Dr Hafez, Susanne, Hyungkyu, Woro Ariyandini dan Patrick Siampwili terlibat dalam sesi interaktif dengan topik Mempertingkatkan Pemulihan dan Kembali Bekerja pada WSSF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Dari kanan: Dr Hafez, Susanne, Hyungkyu, Woro Ariyandini dan Patrick Siampwili terlibat dalam sesi interaktif dengan topik Mempertingkatkan Pemulihan dan Kembali Bekerja pada WSSF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang memasuki hari ketiga turut membincangkan topik berkaitan mempertingkatkan pemulihan dan kembali bekerja.

Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) menegaskan bahawa pemulihan bukan sahaja dilihat daripada aspek kesihatan, malah diiktiraf sebagai hak asasi manusia.

Ketua Pengarah Perubatan Deutsche Rentenversicherung Bund Jerman, Dr Susanne Weinbrenner berkata, pembangunan pemulihan perlu dilihat secara holistik termasuk kesihatan mental dalam melaksanakan pengurusan keselamatan sosial.

"Garis panduan ISSA menekankan bahawa pemulihan seharusnya bertujuan meningkatkan kapasiti fungsional melalui pendekatan biopsikososial dan bukan sekadar melegakan simptom.

"Pemulihan adalah amat penting sepanjang hayat seseorang individu bukan hanya ketika mereka memasuki alam pekerjaan malah menyokong fungsi asas manusia agar dapat terus aktif dan berdikari," katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Antara panel yang hadir adalah BPJS Ketenagakerjaan Indonesia, Woro Ariyandini; Timbalan Pengarah Jabatan Penyelidikan Pampasan dan Kebajikan Pekerja Korea Selatan, Hyungkyu Jo serta Pesuruhjaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kawalan Kumpulan Wang Pampasan Pekerja Zambia, Patrick Siampwili.

Sesi berlangsung selama sejam itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Dr Hafez Hussain selaku moderator.

Susanne berkata, momentum pengiktirafan global terhadap kepentingan pemulihan semakin meningkat berikutan keberkesanannya dalam mengurangkan beban negara serta meningkatkan produktiviti masyarakat.

Sementara itu, Hafez berkata, sesi interaktif yang dijalankan itu dapat membentuk satu kerangka kerja yang menyeluruh hasil perkongsian daripada panel negara luar.

Artikel Berkaitan:

"Ini satu peluang untuk kita lebih maju mempertingkatkan perkhidmatan rehabilitasi dalam keselamatan sosial.

"Bukan sahaja dari aspek fizikal pekerja malah perhatian diberikan kepada isu kesihatan mental yang semakin kompleks serta tidak ketinggalan, integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam rehabilitasi," katanya.

WSSF 2025 menjadi hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial anjuran ISSA dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!