Syed Saddiq persiap diri sertai Kejohanan Dunia Ironman 2025

Syed Saddiq menjalani latihan intensif untuk menyertai Kejohanan Dunia Ironman 2025 di Perancis.
Syed Saddiq menjalani latihan intensif untuk menyertai Kejohanan Dunia Ironman 2025 di Perancis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini dalam fasa persiapan intensif untuk menyertai Kejohanan Dunia Ironman 2025 yang akan berlangsung di Nice, Perancis.

Penyertaan tersebut susulan kejayaan beliau menamatkan cabaran Ironman Malaysia 2024 di Langkawi, meskipun mengalami kecederaan akibat terjatuh semasa disiplin berbasikal.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, sebelum ini, beliau tidak berpuas hati dengan tahap kecergasan dan keadaan fizikal diri.

"Road to Ironman World Championship. Setahun yang lalu, saya membenci tahap badan dan kecergasan saya.

"Hari ini, saya melaburkan masa dan usaha saya untuk menjadi versi terbaik diri saya," tulisnya di Facebook pada Khamis.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut memuat naik video berdurasi 45 saat yang memaparkan beliau menjalani latihan berlari.

Rata-rata warga maya turut menitipkan kata-kata semangat buat Syed Saddiq, 32, serta mendoakan beliau menjuarai kejohanan berprestij tersebut.

Seorang pengguna Facebook memuji Syed Saddiq yang dilihat sebagai seorang sosok pemimpin muda yang bertenaga.

"Kepantasan anda kini separuh daripada masa terbaik larian saya," kata pengguna lain.

Artikel Berkaitan:

"Moga dipermudahkan segala urusan yang baik dan dikuatkan mental serta fizikal. Semoga berjaya Yang Berhormat (YB)!" kata seorang lagi warganet.

Ada juga yang berjenaka dengan meninggalkan komen 'masya-ALLAH, bakal menjadi manusia terkuat di dunia'.

Pada Oktober tahun lalu, Syed Saddiq dilaporkan berjaya menamatkan penyertaan sulungnya di kejohanan Ironman Malaysia dalam tempoh lebih 13 jam walaupun terpaksa menahan kesakitan untuk tiba ke garisan penamat akibat terlanggar dahan pokok tumbang.

Syed Saddiq berjaya menghabiskan ketiga-tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal sejauh 180km serta larian sejauh 42.2km.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!