Laungan 'hamba US' bergema di hadapan Kedutaan AS

KUALA LUMPUR - Laungan 'hamba US' bergema di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini pada Khamis sebagai tanda protes ke atas sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Difahamkan, kumpulan orang ramai mula berkumpul dengan membawa sepanduk bertulis 'Stop The Genocide' dan 'Israel Amerika Stop Starving Gaza' selain plakad di hadapan kedutaan terbabit bermula kira-kira jam 12 tengah hari.
Selain itu terdapat peserta yang membawa gambar kanak-kanak Gaza selain kibaran bendera Palestin.
Perhimpunan itu bertukar sedikit kecoh kira-kira jam 1 petang apabila ada segelintir peserta mula melakukan protes dengan bergerak ke tengah jalan raya.
Bagaimanapun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat kawalan berjaya mengawal situasi.
Himpunan juga kembali tenang selepas hujan lebat di ibu negara.
Seorang peserta himpunan berkenaan, Rinah Alim, 51, berkata dia menyertai himpunan ini untuk menyatakan sokongan dan bantahan terhadap tindakan Israel yang menahan beberapa aktivitis GSF.

"Saya berada di sini atas rasa perkemanusiaan terhadap rakyat Palestin sebab dah bertahun mereka diserang dan sangat sukar untuk menerima sebarang bantuan.
"Semalam pula, rakan-rakan kita yang menyertai GSF pula ditahan. Mereka bukan bawa senjata pun, cuma bawa barang keperluan seperti susu dan juga makanan.
"Jadi, kita perlu menentang sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut rejim Zionis," katanya kepada pemberita di sini.
Turut kelihatan di lokasi himpunan ialah Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail yang memberikan pencerahan kepada peserta himpunan terbabit.
Media sebelum itu melaporkan seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara, termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi Khamis.
Penahanan berskala besar itu disahkan aktivis kemanusiaan Malaysia di Gaza, Nadir Al-Nuri.
Setakat jam 10 pagi, Sinar Harian melaporkan 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza.
Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.
Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius, manakala, Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu serta penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Sementara itu, lima lagi dilaporkan terputus hubungan antaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rejim Zionis Israel segera membebaskan semua aktivis serta sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia yang ditahan selepas kapal GSF dipintas.
Anwar menegaskan, misi tersebut merupakan usaha kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan penting untuk rakyat Gaza, namun telah dihalang dengan cara yang tidak berperikemanusiaan.
Ringkasan AI
- Laungan 'hamba US' bergema di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur sebagai protes terhadap sekatan misi Global Sumud Flotilla
- Kumpulan orang ramai berkumpul dengan membawa sepanduk 'Stop The Genocide' dan 'Israel Amerika Stop Starving Gaza'
- Peserta membawa gambar kanak-kanak Gaza dan kibaran bendera Palestin
- Perhimpunan itu bertukar sedikit kecoh namun PDRM berjaya mengawal situasi dan kembali tenang selepas hujan lebat
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Israel membebaskan semua aktivis dan sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia yang ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
